Images
  • president grab
    Presiden syarikat Grab, Ming Maa (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Grab rancang pelaburan besar di Vietnam

SINGAPURA: Syarikat khidmat kenderaan sewa Grab sedang merancang untuk melabur "beberapa ratus juta dolar" di Vietnam yang dianggapnya sebagai pasaran pertumbuhan utama seterusnya, selang hanya beberapa minggu sejak syarikat berpangkalan di Singapura itu melancarkan rancangan bernilai AS$2 bilion (S$2.77 juta) di Indonesia.

Pelaburan yang dirancang itu merupakan contoh terbaru jenama serantau terkemuka yang memperdalam komitmennya terhadap Vietnam, salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia. Ia juga menunjukkan keinginan Grab memanfaatkan dana berbilion dolar yang dikumpulkan daripara para pelabur.

"Kami sangat ghairah tentang Vietnam. Kami melihat ciri-ciri yang sangat serupa dengan Indonesia," kata Presiden Grab, Ming Maa, dalam wawancara bersama Reuters.

Grab dan pesaingnya yang berpangkalan di Indonesia, Go-Jek, sedang berkembang daripada sebuah pengendali aplikasi khidmat sewa kenderaan menjadi pusat sehenti pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran, penghantaran makanan, logistik dan tempahan hotel di Asia Tenggara.

Grab, dengan aplikasi yang digunakan pada 160 alat mudah alih di lapan negara, telah menyatakan pelaburannya di Indonesia bertujuan untuk membina rangkaian pengangkutan generasi masa hadapan dan mengubah bagaimana perkhidmatan kritikal seperti penjagaan kesihatan disampaikan.

Seperti Indonesia, ramai pengguna kelas pertengahan dan muda di Vietnam menggunakan aplikasi dan laman web untuk mengakses perkhidmatan, kata Encik Maa.

"Saya menjangka kami akan melabur lebih daripada beberapa ratus juta dolar untuk mengembangkan perniagaan kami di Vietnam," katanya tanpa mendedahkan sebarang butiran khusus mengenai pelaburan itu.

Vietnam adalah pasaran ketiga atau keempat terpenting Grab, kata Encik Maa, yang menyertai syarikat itu tiga tahun lalu dari pelabur utamanya, Softbank Group dari Jepun.

Grab bekerjasama dengan firma fintech (teknologi kewangan) Vietnam, Moca, pada 2018 untuk melancarkan dompet digital. Grab juga telah membentuk usahasama dengan Credit Saison, sebuah syarikat kad kredit Jepun tahun lalu untuk menawarkan pinjaman dan analisis kredit kepada pengguna dan usahawan mikro merata Asia Tenggara.

Grab merupakan aplikasi khidmat kenderaan sewa yang paling kerap dimuat turun di Vietnam dari Januari hingga Julai, menurut firma data pasaran dan analisis App Annie. Selain Go-Jek, Be adalah satu lagi pesaing khidmat kenderaan dewa.

Singapura adalah pasaran kedua terbesar Grab, di mana ia sedang membina sebuah ibu pejabat bernilai AS$135 juta (S$187 juta). Syarikat tersebut, yang mempunyai lebih daripada 4.5 juta pemandu di rantau ini, menyasarkan untuk menggandakan hasilnya kepada AS$2bilion (S$2.77 bilion) tahun ini. 

- Reuters/TQ/tq

Top