Images
  • grab
    Sebuah teksi Grab di Hanoi, Vietnam. (Gambar: Kham/Reuters)

Grab diarah bayar pampasan kepada syarikat teksi Vietnam

HANOI: Sebuah mahkamah di Vietnam hari ini (28 Dis) mengarahkan syarikat khidmat kereta sewa privet, Grab, supaya membayar pampasan sekitar 4.8 bilion dong (S$283,000) kepada sebuah syarikat pengendali teksi tempatan. Ia sekaligus menamatkan kes pertikaian antara kedua-dua syarikat itu, menurut seorang jurucakap Grab dan laporan-laporan media tempatan.

Dalam satu kes yang jarang berlaku, sebuah syarikat teksi menuntut saman terhadap pesaingnya kerana hilang keuntungan. Vietnam Sun Corp, yang lebih dikenali sebagai Vinasun, bagaimanapun hanya menerima sekitar 11 peratus daripada 41.2 bilon dong (S$2.4 juta) jumlah pampasan yang dituntut berhubung apa yang disifatkannya sebagai amalan perniagaan Grab yang tidak adil.

Seorang jurucakap Grab mengesahkan kepada agensi berita Reuters bahawa ia sudah diarahkan oleh mahkamah supaya membayar ganti rugi itu, namun enggan memberi sebarang maklumat lanjut.

Vinasun pula tidak menjawab permintaan untuk mengulas.

Menurut laporan akhbar Tuoi Tre, mahkamah memutuskan bahawa Grab melanggar undang-undang Vietnam kerana ia beroperasi sebagai sebuah syarikat teksi, dan bukan hanya sebagai sebuah syarikat teknologi.

Hakim dalam kes berkenaan juga berkata terdapat kaitan antara operasi Grab dengan kehilangan hasil pendapatan Vinasun. Bagaimanapun, Grab bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan kehilangan keuntungan itu.

Dalam satu kenyataan pada awal minggu ini, Grab menyatakan Vinasun perlu 'merubah' perniagaannya dan tidak sepatutnya "mengurangkan daya saing pasaran dan mengambil tindakan guaman bagi menghalang kemasukan syarikat-syarikat inovatif." 

- Reuters/AI/ai

Top