Images
  • grab
    Sebuah teksi Grab di Hanoi, Vietnam. (Gambar: Kham/Reuters)

Grab buka ibu pejabat baru S$181 juta di Singapura

SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa Grab akan membangunkan sebuah ibu pejabat baru di kawasan one-north di Singapura sedang ia meluaskan operasinya.

Syarikat itu mengumumkan demikian pada Rabu (30 Jan) dalam satu kenyataan media bersama Ascendas Reit yang akan membangunkan dan menguruskan bangunan tersebut. Ia dijangka menelan kos sekitar S$181.2 juta.

Ibu pejabat baru itu yang dijangka siap pada suku keempat 2020 akan menempatkan semua kakitangan Grab di Singapura.

"Pusat R&D terbesar Grab juga akan berpangkalan di sini sedang Grab terus meluaskan pasukan teknologinya secara global," menurut kenyataan media tersebut.

Pejabat-pejabat Grab kini terletak di Midview City di Sin Ming.

Bangunan baru itu akan direka dengan ciri-ciri hijau serta selain pelantar tinjau di tingkat pertengahan dan ruang-ruang bersama.

"Ibu pejabat baru itu adalah satu lagi detik penting bagi kami - ia mencerminkan komitmen jangka panjang kami kepada Singapura dan rantau ini," kata ketua sumber manusia syarikat itu Ong Chin Yin, yang menarik perhatian bahawa Grab mencapai angka tiga bilion perjalanan di Asia Tenggara minggu lalu.

Beliau menambah, Grab merancang untuk mewujudkan lagi seribu jawatan pekerjaan di peringkat global dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Grab yang bermula sebagai sebuah aplikasi khidmat kereta sewa pada 2012 meluaskan khidmatnya merangkumi penghantaran makanan dan minuman, bayaran mudah alih dan khidmat kewangan. Ia kini beroperasi di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan Kemboja. 

- CNA/EM/tq

Top