Images
  • grabfood
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Grab akan naikkan yuran penghantaran makanan, barang runcit mulai 22 Apr

SINGAPURA: Syarikat teknologi Grab akan menaikkan yuran platform bagi penghantaran makanan dan tempahan barangan mulai hujung bulan depan, menurut Grab dalam kiriman emelnya kepada para pelanggan pada Rabu (31 Mac).

Menurut Grab, ia akan menaikkan yuran platform bagi GrabFood dan GrabMart kepada S$0.30 bagi setiap tempahan, naik S$0.10 berbanding kadar yang dikenakan sekarang. Kadar baru itu akan dikenakan mulai 22 April.

"Sepanjang tahun lalu, permintaan bagi khidmat penghantaran telah meningkat. Dan seiring dengan peningkatan itu, timbul keperluan untuk menyediakan wadah yang selamat dan lebih berkesan kepada anda dan rakan khidmat penghantaran kami," menurut Grab dalam emelnya kepada para pengguna.

"Bagi memastikan kami dapat terus menampungnya, kami akan membuat penyesuaian pada yuran platform... Ia bagi mengekalkan ciri-ciri sedia ada dan menghasilkan ciri-ciri yang baru."

Langkah itu dilaksanakan sekitar setahun selepas Grab memperkenalkan yuran platform sebanyak S$0.20 bagi khidmat penghantaran makanan pada 27 Mac 2020.

Pada Disember lalu, ia juga memperkenalkan yuran platform sebanyak S$0.30 bagi semua perjalanan kecuali GrabHitch dan GrabResponse.

Syarikat itu menyatakan dalam emel kepada para pengguna pada Rabu bahawa yuran platform itu akan disalurkan kepada tiga bidang: Keselamatan khidmat, keselamatan pengguna dan keberkesanan.

Ia turut menyatakan bahawa tidak lama lagi ia akan memperkenalkan ciri-ciri baru bagi mengurangkan masa menunggu bagi rakan penghantaran di kedai, membolehkan mereka untuk menyiapkan dan menghantar tempahan dengan lebih pantas.

Grab juga merancang untuk mempertingkatkan langkah pencegahan penipuan, satu langkah yang akan menyediakan "lebih banyak perlindungan daripada gangguan dan perbuatan nakal".

"Kami berharap dapat menawarkan platform dan pengalaman lebih baik kepada anda dan rakan penghantaran kami," menurut Grab.

- CNA/HA/ha

Top