Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Goldbell Group sah beli BlueSG, akan suntik lebih S$70 juta dalam 5 tahun mendatang

Goldbell Group sahkan rancangan untuk membeli firma khidmat perkongsian kereta elektrik BlueSG, dan tubuhkan pusat R&D dengan  S'pura dijadikan ibu pejabat global.

Anggaran Waktu Membaca:
Goldbell Group sah beli BlueSG, akan suntik lebih S$70 juta dalam 5 tahun mendatang

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Feb 2021 10:46PM Dikemas Kini : 05 Feb 2021 10:48PM

SINGAPURA: Goldbell Group yang berpangkalan di Singapura pada Jumaat (5 Februari) mengesahkan rancangan untuk membeli firma perkongsian kereta elektrik BlueSG, dengan menyatakan pihaknya akan melabur lebih S$70 juta untuk mengembangkan keupayaan perniagaan dan teknikal syarikat tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang.

Goldbell menyatakan pihaknya menjangkakan pembelian itu akan selesai pada Ogos, dengan kumpulan konglomerat Perancis Bollore Group terus menguruskan operasi sehingga selesai peralihan itu.

BlueSG yang merupakan anak syarikat Bollore Group dilancarkan pada 2017 sebagai sebahagian daripada skim perkongsian kereta elektrik negara bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB).

Syarikat itu mempunyai sekitar 650 kenderaan dan lebih 1,200 tempat mengecas di seluruh negara.

Goldbell Group yang berusia 41 tahun pula adalah syarikat sewa kenderaan komersil terbesar di Singapura, yang mana anak syarikatnya termasuk syarikat pemula mobiliti ikut permintaan, SWAT dan xSquare, yang memberi tumpuan kepada huraian khidmat pengurusan gudang autonomi.

Bercakap kepada Mediacorp pada Jumaat, ketua pegawai eksekutif Goldbell Arthur Chua berkata Bollore akan terus mengendalikan prasarana mengecas kenderaan elektrik (EV) BlueSG sedia ada walaupun setelah Goldbell mengambil alih perniagaan syarikat tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai perjanjian itu, setakat berkata anggaran S$20 juta hingga S$25 juta yang sebelum ini dilaporkan oleh Straits Times terlalu "rendah".

Pelaburan S$70 juta akan disalurkan ke bidang seperti menambah kenderaan baru. Encik Chua berkata Goldbell sedang menimbangkan untuk menambah jenis EV lain ke dalam kumpulan kenderaan itu, selain 'hatchback' putih khas BlueSG.

Pihaknya juga merancang untuk bekerjasama dengan syarikat lain untuk membolehkan pengguna BlueSG mengecas kenderaan mereka menggunakan tempat mengecas EV mereka.

Goldbell juga akan menubuhkan sebuah pusat penyelidikan dan pengembangan baru dengan pasukan teknologi khas yang akan berusaha mengembangkan teknologi dan algoritma mobiliti baru.

Singapura akan bertindak sebagai ibu pejabat global BlueSG, kata Encik Chua, sambil menambah bahawa ada rancangan untuk mengembangkan perniagaan itu di rantau ini.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan