Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Gojek umum kerjasama dengan Trans-Cab sempena setahun khidmat di S'pura

Pengguna Gojek di sini akan mendapat akses lebih luas kepada kenderaan apabila menempah perjalanan. Ini sedang syarikat khidmat kenderaan sewa Indonesia itu mengumumkan kerjasama dengan pengendali teksi Trans-Cab. 

Anggaran Waktu Membaca:
Gojek umum kerjasama dengan Trans-Cab sempena setahun khidmat di S'pura

(Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 30 Nov 2019 08:03AM Dikemas Kini : 30 Nov 2019 08:05AM

SINGAPURA: Pengguna Gojek di sini akan mendapat akses lebih luas kepada kenderaan apabila menempah perjalanan. Ini sedang syarikat khidmat kenderaan sewa Indonesia itu mengumumkan kerjasama dengan pengendali teksi Trans-Cab.

Perjanjian tersebut diumumkan di satu acara pemasaran sempena ulang tahun pertama operasi komersil Gojek di Singapura pada Jumaat (29 Nov).

Trans-Cab adalah pengendali teksi kedua terbesar di Singapura dengan 2,954 teksi sehingga September lalu, menurut perangkaan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Langkah tersebut dijangka mengurangkan masa menunggu bagi penumpang serta membolehkan pemandu Trans-Cab untuk menikmati manfaat sama dengan pemandu kereta sewa privet Gojek, termasuk perlindungan insurans dan perubatan.

Langkah itu dimulakan setelah Gojek bekerjasama dengan Trans-Leasing - cabang kereta sewa Trans-Cab - pada Mei lalu.

"Sebagai sebahagian daripada perjanjian, kami sedang meneroka manfaat bersama yang baru bagi para pemandu rakan kongsi Gojek dan pemandu Trans-Cab, termasuk kadar elektrik rumah istimewa oleh Union Energy," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Trans-Cab Teo Kiang Ang. Beliau menarik perhatian bahawa penyedia bekalan tenaga berkenaan adalah syarikat induk Trans-Cab.

Perjalanan menaiki teksi Trans-Cab yang ditempah menerusi aplikasi Gojek akan disediakan pada harga tetap dan bukan mengikut tambang bermeter.

Pengurus Besar Gojek Singapura Lien Choong Luen berkata tidak akan ada pilihan untuk memilih teksi secara khusus menerusi aplikasi itu - satu pilihan yang sudahpun tersedia di aplikasi Grab. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ciri sedemikian diperkenalkan pada masa kelak.

Encik Lien menekankan aplikasi Gojek mungkin membolehkan penumpang untuk memilih jenis kenderaan berbeza, seperti kenderaan lebih besar, menjelang tahun depan. Aplikasi itu juga mungkin akan membolehkan khidmat kongsi perjalanan yang serupa dengan khidmat GrabShare oleh Grab.

Pada September, Trans-Cab bekerjasama dengan syarikat pemula kereta sewa dan kereta kongsi tempatan Ryde untuk membolehkan teksinya ditempah menerusi aplikasi berkenaan.

Pengendali teksi itu juga sebelum ini bekerjasama dengan pesaing Gojek, Grab, untuk melancarkan khidmat JustGrab.

CEO Gojek Andre Soelistyo menarik perhatian bahawa firma itu sudahpun berjaya melakukan 30 juta perjalanan di Singapura dalam tempoh setahun khidmatnya di sini.

Berucap kepada media pada Jumaat, Encik Soelistyo menggariskan bahawa meskipun Singapura hanya mempunyai 800,000 pengguna aktif sebulan - berbanding 29.2 juta pengguna sebulan di Indonesia - negara ini adalah pasaran pengangkutan kedua terbesar Gojek selepas Indonesia. Ini berdasarkan jumlah yang dibelanjankan oleh pelanggan.

Sungguhpun Gojek menyasarkan untuk mempelbagaikan khidmat yang ditawarkan seperti penghantaran makanan dan perkhidmatan kewangan, yang sudahpun tersedia di pasaran asalnya di Indonesia, ia sedang mengambil pendekatan berhati-hati dalam melaksanakannya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan