Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Gojek terus kekal melabur di S'pura, bakal lancar khidmat baru 'dalam beberapa bulan mendatang'

Meskipun kadar komisen dibayar pemandu dikurangkan sebanyak separuh, "ekonomi keseluruhan" Gojek masih berada pada kedudukan baik, kata pengurus besar Gojek Singapura, Lien Choong Luen.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun kadar komisen dibayar pemandu dikurangkan sebanyak separuh, "ekonomi keseluruhan" Gojek masih berada pada kedudukan baik, kata pengurus besar Gojek Singapura, Lien Choong Luen.

Syarikat itu mengumumkan pada Jun lalu, kadar komisen yang dibayar oleh pemandu dikurangkan dari 20 peratus kepada 10 peratus hingga hujung tahun depan bagi membantu mereka meraih pendapatan lebih tinggi semasa pandemik COVID-19.

Encik Lien menarik perhatian, yuran platform Gojek - iaitu bayaran tambahan S$0.70 yang dibayar oleh semua penumpang di Singapura sejak Mac tahun lalu - sebagai "sangat sihat", sambil menambah bahawa gergasi khidmat kereta sewa dari Indonesia itu memberi penekanan terhadap kos operasi dan fiskal secara berhemah.

Gojek mula beroperasi di Singapura dengan membuka sebuah pejabat sains data di sini pada 2017. Pada lewat 2018, Singapura merupakan salah satu daripada tiga negara di mana firma itu melancarkan khidmatnya sebagai sebahagian daripada peluasan serantau bernilai AS$500 juta (S$676 juta) setelah Uber mengundurkan diri dari Asia Tenggara.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Lien berkata Gojek akan terus melabur dalam perniagaannya di Singapura.

Syarikat itu merancang untuk memperkenalkan lebih banyak khidmat di sini selain daripada khidmat kereta sewa privet dan tempahan teksi dalam "beberapa bulan akan datang". Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut, sekadar berkata perinciannya akan didedahkan sebaik sahaja tarikh pelancaran diputuskan.

Seperti pesaing utamanya di rantau ini iaitu Grab, Gojek menawarkan pelbagai khidmat dari penghantaran makanan dan barangan dapur hingga khidmat kewangan di Indonesia, meskipun khidmat-khidmat sedemikian belum lagi diperkenalkan di Singapura.

Pada 2019, mantan ketua eksekutif bersama Gojek Andre Soelistyo berkata syarikat itu merancang untuk menawarkan khidmat berkenaan di Singapura, namun mengambil pendekatan berhati-hati dalam berbuat demikian.

Bahagian pasaran Gojek di Singapura juga semakin bertambah baik, kata Encik Lien.

Walaupun beliau tidak memberikan jumlah terperinci, Encik Lien berkata syarikat itu mencatat kenaikan 48 peratus dalam jumlah pemandu pada September tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, sambil menambah bahawa jumlah itu "setara" dengan jumlah perjalanan penumpang.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan