Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Gojek akan lancar ciri pengangkutan baru di S'pura 3 bulan akan datang

Gojek sedang menimbangkan untuk memperluaskan khidmatnya di Singapura, menurut tampuk kepimpinan baru syarikat dari Indonesia itu pada Khamis (24 Okt). Namun, syarikat berkenaan menegaskan bahawa ia akan mengambil "pendekatan yang lebih tersusun" semasa melakukan demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Gojek akan lancar ciri pengangkutan baru di S'pura 3 bulan akan datang

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 25 Oct 2019 08:43AM Dikemas Kini : 25 Oct 2019 08:48AM

SINGAPURA: Gojek sedang menimbangkan untuk memperluaskan khidmatnya di Singapura, menurut tampuk kepimpinan baru syarikat dari Indonesia itu pada Khamis (24 Okt). Namun, syarikat berkenaan menegaskan bahawa ia akan mengambil "pendekatan yang lebih tersusun" semasa melakukan demikian.

CEO bersama Gojek, Kevin Aluwi, berkata ini kerana pesaingnya Grab yang beroperasi di lapan negara Asia Tenggara dan berpangkalan di Singapura, sudah lama bertapak di sini.

"Kami tentu sekali mempunyai rancangan untuk melancarkan produk-produk lain selain pengangkutan," jawab beliau apabila ditanya tentang rancangan syarikat itu bagi pasaran Singapura.

Sebagai permulaan, para pengguna di Singapura boleh menjangkakan "lebih banyak ciri-ciri dari aspek pengangkutan" dalam masa tiga bulan mendatang.

Bersama dengan seorang lagi CEO, Andre Soelistyo, Encik Aluwi - yang mengasaskan Gojek bersama mantan CEOnya Nadiem Makarim - diwawancara media antarabangsa melalui panggilan sidang dari ibu pejabat Gojek di Jakarta.

Wawancara itu adalah yang pertama bagi pasangan tersebut sejak mereka mengambil alih tampuk kepimpinan Gojek minggu ini. Encik Makarim meninggalkan firma tersebut bulan ini untuk menggalas jawatan menteri pendidikan dan kebudayaan dalam kabinet baru Presiden Indonesia Joko Widodo.

Firma Indonesia itu dilaporkan bernilai sekitar AS$10 bilion (S$13.6 bilion).

Tahun lalu, ia melancarkan rancangan peluasan perniagaan bernilai AS$50 juta (S$68.1 juta) dan menembusi tiga pasaran di Asia Tenggara - Vietnam, Thailand dan Singapura - menyusuli pengunduran Uber dari rantau ini.

TIDAK TERGESA-GESA MASUK PASARAN PENGHANTARAN MAKANAN

Meskipun Gojek sebelum ini mengumumkan akan memasuki sektor penghantaran makanan di Singapura, Encik Aluwi berkata syarikatnya tidak terburu-buru untuk berbuat demikian.

"Sudah terdapat lima pemain lain, semuanya bersaing dengan diskaun 30, 40 peratus," kata beliau.

Firma tersebut sedang mengkaji bagaimana ia dapat menawarkan khidmat penghantaran makanan yang berbeza di Singapura memandangkan pasaran di sini sangat sengit.

Semasa memberikan taklimat, Gojek turut mendedahkan bahawa ia mempunyai sekitar 800,000 pengguna aktif di Singapura pada setiap bulan.

Encik Aluwi menjelaskan meskipun Singapura adalah pasaran yang paling kecil bagi syarikat Indonesia itu, ia tetap "sangat berharga" kerana pengguna di sini berbelanja lebih besar untuk menggunakan khidmatnya.

IPO, PASARAN ANTARABANGSA KEKAL SASARAN GOJEK

Indonesia kekal sebagai pasaran utama Gojek, kata Encik Soelistyo, dengan 80 peratus penggunanya di sana.

Beliau menambah, syarikat itu merancang untuk menebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa dan berharap agar dalam masa beberapa tahun akan datang 50 peratus penggunanya adalah dari luar Indonesia.

Dalam taklimat yang sama, Encik Soelistyo mengesahkan Gojek masih menyasarkan tawaran awam awal (IPO) - meskipun ia belum lagi menetapkan tarikh untuk mengumumkannya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan