Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Giant labur lagi S$4 juta bagi lanjutkan tempoh potongan harga hingga hujung tahun ini

Rangkaian pasar raya Giant hari ini (25 Mac) mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan tempoh potongan harga bagi beratus-ratus produknya sehingga hujung tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Giant labur lagi S$4 juta bagi lanjutkan tempoh potongan harga hingga hujung tahun ini

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 25 Mar 2021 08:25AM Dikemas Kini : 25 Mar 2021 08:27AM

SINGAPURA: Rangkaian pasar raya Giant hari ini (25 Mac) mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan tempoh potongan harga bagi beratus-ratus produknya sehingga hujung tahun ini.

Ini bermakna, kos keseluruhan potongan harga tersebut adalah tambahan lagi S$4 juta.

Ia juga akan menambah lebih 100 produk yang diberikan potongan harga, termasuk sabun pencuci tangan anti bakteria Kirei Kirei, daging lembu Angus yang diimport dari Australia dan keledek Jepun yang diimport dari Vietnam.

Giant, yang mempunyai 53 cawangan di merata negara dan dimiliki oleh syarikat Dairy Farm Group, menyatakan program tersebut akan terus membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi para pelanggannya dalam keadaan ekonomi yang serba tidak menentu sekarang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Ia juga sudah melabur S$17 juta pada tahun lalu ke dalam kempen potongan harga yang diberi nama Lower Prices That Last, yang menawarkan pelbagai potongan harga bagi 650 produknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Dairy Farm Group bagi perniagaan makanan Asia Tenggara, Chris Bush, berkata: "Kami memahami bahawa dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, para pelanggan kami sedang berjimat cermat.

"Dengan purata penjimatan sehingga 27 peratus dan dengan pelanggan datang ke pasar raya purata seminggu sekali, ini meningkatkan lagi penjimatan."

Daripada data yang dikumpulkan oleh Giant sejak Disember tahun lalu hingga Mac tahun ini, para pelanggan yang membeli-belah di pasar rayanya dan bukan di pasar raya lain akan dapat meraih penjimatan sehingga purata 28 peratus atau S$14.40 bagi setiap bakul.

Rangkaian pasar raya itu turut mendedahkan bahawa sejak kempen tersebut dilancarkan, ia menyaksikan "jumlah tinggi" trafik pelanggan dan penjualan di pasar raya itu, khususnya bagi prduk-produk segar seperti udang dan kobis.

Tahun ini, para pelanggan boleh menjangkakan potongan harga sebanyak 20 peratus secara purata, sama seperti tahun lalu, tambah syarikat itu.

Harga bagi sebotol sabun Kirei-Kirei, contohnya, diturunkan dari S$2.35 kepada S$1.50, iaitu potongan harga sebanyak 36.2 peratus.

Keledek Jepun dari Vietnam pula dijual pada harga S$2.50 berbanding S$3.50. Bermakna, potongan harga sebanyak 28.6 peratus.

Potongan harga itu juga akan diberikan bagi produk-produk jenama Giant sendiri seperti Meadows.

Ia akan memperluaskan katalog produknya untuk meliputi produk asas seperti minyak, bijirin dan rempah ratus.

Secara berasingan, Giant sedang memperbanyakkan barangannya. Ia akan menambah 300 produk baru, termasuk kek keju strawberi Haagen Dazs, produk daging Impossible dan penyembur mulut Darlie.

Menurut Encik Bush: "Kami sudah menambah pelaburan kami supaya kami boleh terus menunaikan janji kepada pelanggan iaitu memastikan harga rendah - dan sekarang ini bagi jangka lebih panjang - supaya mereka boleh menikmati penjimatan melalui produk-produk yang sering mereka beli.

"Sejak pelancaran kempen itu, kami sudah membuktikan kepada para pelanggan bahawa potongan-potongan harga ini bukan promosi jangka pendek tetapi jangka panjang bagi produk-produk yang penting untuk mereka. Ini supaya setiap kali mereka membeli-belah di Giant, mereka boleh melakukannya dengan yakin bahawa mereka meraih penjimatan yang terbaik dalam pasaran." 

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan