Images
  • facebook (2)
    (Gambar: Stephen Lam/REUTERS)

Gergasi teknologi tingkat usaha tangani kandungan pelampau

NEW YORK: Syarikat-syarikat teknologi diterajui Facebook pada Isnin (23 Sep) menyertai para pemimpin dunia untuk memperkukuh sebuah badan industri untuk membasmi kandungan ekstrem online dengan menyediakan seorang kakitangan tetap.

Facebook mengumumkan langkah-langkah tersebut di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam satu mesyuarat berhubung risiko pelampau di internet, yang dipengerusikan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Facebook, Twitter, Microsoft dan YouTube pada 2017 membentuk Forum Internet Global untuk Menentang Pengganasan, sebuah perikatan yang kurang jelas matlamatnya yang ditugaskan menangani bahan-bahan berbahaya di media sosial.

Namun syarikat-syarikat teknologi sekali lagi dikritik selepas seorang pengganas haluan kanan kulit putih pada Mac membunuh para jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Dia menyiarkan secara langsung serangan itu dan memuat naik satu manifesto secara online yang penuh dengan teori konspirasi perkauman.

"Video penyerang yang menjadi begitu tular online menunjukkan perlunya usaha ditingkatkan," menurut kenyataan Facebook.

Facebook menyatakan forum yang ditubuhkan pada 2017 itu kini dianggap sebuah badan bebas dan mempunyai kakitangan tetap di bawah kepimpinan seorang pengarah eksekutif, yang namanya belum didedahkan.

Lembaga operasi forum itu akan diterajui pihak industri manakala badan-badan bukan pemerintah akan mengetuai sebuah lembaga penasihat.

Pemerintah-pemerintah Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Kanada, New Zealand dan Jepun juga akan memainkan peranan penasihat di samping para pakar PBB dan Kesatuan Eropah.

Forum tersebut bagaimanapun masih berteraskan usaha sukarela oleh syarikat-syarikat teknologi untuk melakukan pemantauan mereka sendiri. Facebook menyatakan usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti dengan lebih baik kandungan ekstrem online.

- AFP/TQ/tq

Top