Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Geran S$75 juta bagi memacu S'pura sebagai hab pembiayaan perusahaan

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan melancarkan geran baru bernilai S$75 juta bagi membantu perusahaan-perusahaan yang ingin meningkatkan modal menerusi pasaran ekuiti negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Geran S$75 juta bagi memacu S'pura sebagai hab pembiayaan perusahaan

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 Jan 2019 02:55PM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 03:10PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan melancarkan geran baru bernilai S$75 juta bagi membantu perusahaan-perusahaan yang ingin meningkatkan modal menerusi pasaran ekuiti negara.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan demikian semasa persidangan UBS Wealth Insights hari ini (14 Jan).

Geran bagi Pasaran Ekuiti Singapura (GEMS), satu inisiatif selama tempoh tiga tahun, akan dilancarkan pada 14 Februari sejajar dengan matlamat negara ini untuk mempertingkatkan peranannya sebagai sebuah hab pembiayaan perusahaan.

Ia merangkumi tiga komponen - Geran Penyenaraian bagi membiayai sebahagian daripada kos tawaran awal awam; Geran Pembangunan Bakat Penyelidikan bagi memupuk bakat penyelidikan ekuiti; serta Geran Inisiatif Penyelidikan bagi menyokong inisiatif-inisiatif berteraskan sumber khalayak bagi memacu sistem penyelidikan ekuiti Singapura.

Geran Penyenaraian dengan peringkat pembiayaan yang berbeza-beza akan menggalak perusahaan-perusahaan daripada plebagai sektor untuk disenaraikan di dalam Bursa Saham Singapura (SGX).

Syarikat-syarikat teknologi yang ingin disenaraikan boleh menerima pembiayaan tertinggi - iaitu 70 peratus daripada kos penyenaraian, dihadkan kepada S$1 juta. Sektor pertumbuhan tinggi pula boleh menerima pembiayaan 20 peratus daripada kos itu, dengan had S$500,000 ditetapkan.

Sektor-sektor pertumbuhan tinggi yang dikenalpasti oleh Jawatankuasa bagi Ekonomi Masa Hadapan adalah kelompok digital, pengilangan berautomasi, perkhidmatan hab, logistik, huraian bandar serta prasarana dan jagaan kesihatan.

Syarikat-syarikat teknologi dan pertumbuhan tinggi mesti mempunyai modal pasaran minimum sebanyak S$300 juta untuk melayakkan diri.

Syarikat daripada sektor-sektor lain juga akan menerima bantuan dan boleh menerima pembiayaan penyenaraian 20 peratus yang dihadkan kepada S$200,000. Syarikat-syarikat tersebut tidak perlu memenuhi modal pasaran minimum untuk melayakkan diri bagi geran itu.

Bagi membantu meningkatkan penyelidikan dan mempuk bakat penyelidikan ekuiti, Geran Pembangunan Bakat Penyelidikan akan membiayai secara bersama 70 peratus daripada gaji para graduan baru yang diambil bekerja sebagai penganalisis penyelidikan ekuiti selama tempoh dua tahun.

Para penganlisis kajian ekuiti berpengalaman yang diambil bekerja semula dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun juga akan menerima bantuan, dengan 50 peratus daripada gaji mereka dibiayai bersama selama setahun.

MAS ingin memacu pembangunan ekosistem penyelidikan ekuiti Singapura dan akan memperuntukkan dana bagi inisiatif berteraskan sumber khalayak untuk memperkukuhkan lagi industri itu.

GEMS dibiayai di bawah Dana Pembangunan Sektor Kewangan.

"Singapura sudah memainkan peranan penting sebagai pintu gerbang kepada peluang-peluang pelaburan di Asia.

"Selain menyediakan sekitaran sesuai bagi menyokong perusahaan-perusahaan Asia, Singapura juga memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan global dengan menawarkan para pengurus aset dan para pelabur institusi menerusi satu wadah yang membolehkan mereka mendapat akses kepada pelaburan di seluruh Asia," kata Encik Heng.

Skim geran itu adalah langkah terbaru Singapura dalam usahanya untuk mempertingkatkan peranan negara ini sebagai hab pembiayaan perusahaan.

Pada November lalu, MAS mengumumkan program pasaran privet bernilai AS$5 bilion (S$6.8 bilion) bagi membiayai para pengurus dana tempatan, yang melabur dalam perusahaan privet dan projek prasarana.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan