Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Geran lebih tinggi, lebih banyak sokongan pembimbing untuk gilap bakat pengasas syarikat pemula kali pertama

Bantuan geran bagi usahawan pemula kali pertama akan dinaikkan kepada S$50,000 sebagai sebahagian daripada peningkatan kepada sebuah program sokongan yang bertujuan untuk memacu lebih banyak syarikat pemula inovatif di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Aug 2020 12:48PM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 11:55PM

SINGAPURA: Bantuan geran bagi usahawan pemula kali pertama akan dinaikkan kepada S$50,000 sebagai sebahagian daripada peningkatan kepada sebuah program sokongan yang bertujuan untuk memacu lebih banyak syarikat pemula inovatif di Singapura.

Program Pengasas Startup SG juga akan mempunyai program pembangunan usaha sama tiga bulan untuk melatih dan menggilap bakat mereka yang bercita-cita untuk menyertai bidang tersebut, menurut Enterprise Singapore (ESG) pada Khamis (20 Ogos).

Butiran itu diperincikan selepas Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan dalam kenyataan menterinya pada Isnin bahawa sehingga S$150 juta akan disalurkan ke dalam program Pengasas Startup SG. Ia sebahagian daripada usaha untuk terus memacu inovasi dan merangsang semangat keusahawanan di Singapura.

Sejak diperkenalkan pada 2017, program itu menyediakan pengasas kali pertama dengan sokongan bimbingan serta geran modal pemula menerusi rakan pembimbing yang bertauliah.

Buat masa ini, ia menyediakan geran modal pemula sebanyak S$30,000 sambil menghendaki syarikat pemula untuk memadankan secara bersama dana S$10,000 bagi geran tersebut.

Geran modal pemula akan dinaikkan kepada S$50,000 untuk membantu "memanjangkan landasan" bagi syarikat pemula untuk mengembangkan idea perniagaan masing-masing sedang usaha untuk menjana keuntungan semakin "lebih mencabar", jelas ESG.

Jumlah pemadanan itu kekal pada S$10,000.

Syarikat pemula juga kini mesti dibentuk dengan sekurang-kurangnya tiga rakyat Singapura dan/atau penduduk tetap termasuk pengasasnya. Sekurang-kurangnya dua daripada mereka mesti memulakan perniagaan untuk kali pertama.

Selain itu, program pembangunan usaha sama tiga bulan yang baru akan menyaksikan pembangun usaha sama yang dilantik membantu para usahawan baru dalam bidang-bidang seperti mencari daya inovasi, memasarkan idea menjadi perniagaan yang berskala dan mencari modal.

Inisiatif tiga bulan yang baru itu akan dibuka kepada rakyat Singapura dan penduduk tetap di mana peserta akan menerima gaji bulanan sebanyak S$1,500.

Pembangun usaha sama akan dipilih berdasarkan rekod mereka dalam menjana usaha sama yang kukuh, menurut ESG.

Sebagai permulaan, lima universiti tempatan - Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (MSU), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) serta Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) - akan menyertai program itu sebagai rakan kongsi untuk menyediakan program pembangunan usaha sama.

Kesemua universiti itu akan membuka permohonan bagi program tersebut menjelang hujung Ogos.

Sementara itu, pengasas syarikat pemula akan terus menerima bimbingan daripada 50 rakan pembimbing bertauliah yang dilantik oleh ESG di bawah program Pengasas Startup SG.

Rakan-rakan pembimbing bertauliah itu membantu untuk mengenal pasti syarikat pemula yang layak berdasarkan keunikan konsep perniagaan mereka, kebolehlaksanaan model perniagaan, kekuatan pasukan pengurusan serta potensi nilai pasaran masing-masing.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan