Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Genting Cruise Lines pikat pekerja warga S'pura bagi kapal barunya

Genting Cruise Lines mengumumkan pada Khamis (15 Okt) bahawa ia akan menggajikan warga Singapura untuk bekerja di atas kapalnya World Dream, beberapa minggu sebelum skim perintis dilaksanakan bagi membolehkan dua syarikat kapal pesiaran menyambung semula khidmat masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Genting Cruise Lines pikat pekerja warga S'pura bagi kapal barunya

Kapal pesiaran World Dream (Gambar: Genting Cruise Lines)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 10:36PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 10:41PM

SINGAPURA: Genting Cruise Lines mengumumkan pada Khamis (15 Okt) bahawa ia akan menggajikan warga Singapura untuk bekerja di atas kapalnya World Dream, beberapa minggu sebelum skim perintis dilaksanakan bagi membolehkan dua syarikat kapal pesiaran menyambung semula khidmat masing-masing dengan protokol keselamatan COVID-19 dipertingkatkan.

Lebih 100 pekerjaan ditawarkan, merangkumi semua aspek operasi kapal pesiaran, termasuk pegawai marin, tukang masak, juruteknik media, serta kakitangan pelayanan seperti "duta pesiaran" yang akan menjaga hubungan tetamu.

Satu siri kegiatan bersama, projek pembelajaran dan program amali juga akan ditawarkan kepada para pelajar dan graduan yang berminat untuk meneroka kerjaya dalam sektor kapal pesiaran dan berkaitan dengan pelancongan, sebagai sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai syarikat itu dengan Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Singapura, Politeknik Temasek, Politeknik Republik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Awal bulan ini, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengumumkan bahawa dua syarikat kapal pesiaran - Genting Cruise Lines dan Royal Caribbean International - akan dibenarkan untuk menawarkan "pesiaran tanpa destinasi" mulai 6 November.

Genting Cruise Lines akan dibenarkan mengendalikan kapal World Dream, sementara Royal Caribbean akan mengendalikan Quantum of the Seas. Kedua-dua kapal itu berpangkalan di Singapura.

Pelayaran ulang-alik itu tidak akan melakukan persinggahan di mana-mana pelabuhan. Kedua-dua kapal pesiaran itu dibenarkan kapasiti maksimum sehingga 50 peratus muatannya, yang hanya terdiri daripada penduduk Singapura, menurut STB.

Encik Michael Goh, presiden Dream Cruises yang merupakan antara jenama di bawah Genting Cruise Lines, berkata walaupun kapal pesiaran biasanya bergantung kepada tenaga anak kapal antarabangsa, Genting Cruise Lines sedang mendampingi warga Singapura untuk mencergaskan ekonomi tempatan.

Mengikut tradisi, industri kapal pesiaran memerlukan anak kapal meluangkan masa sehingga 11 bulan di laut sebelum mereka diberi cuti selama sebulan, namun dengan struktur pelayaran jarak dekat World Dream, ini bermakna aturan kerja lebih fleksibel bagi mereka.

"Memandangkan World Dream mengendalikan pesiaran jarak dekat selama dua dan tiga malam, warga Singapura yang menjadi anak kapal boleh bekerja di atas kapal dengan aturan kerja yang lebih singkat yang membolehkan mereka untuk bertemu keluarga mereka dengan kerap," kata Encik Goh.

"Ini akan menjadikannya sangat menarik bagi warga Singapura yang kehilangan pekerjaan dalam industri pelancongan di tengah-tengah pandemik sekarang."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan