Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

GDP tumbuh 6.5%: Lebih banyak pekerjaan dijangka wujud dalam sektor berdaya tahan

Dengan ekonomi Singapura tumbuh 6.5% bagi suku ketiga tahun ini, lebih banyak pekerjaan dijangka akan wujud dalam sektor-sektor yang lebih berdaya tahan, menurut pakar ekonomi Saktiandi Supaat yang juga merupakan Naib Presiden Eksekutif Pasaran Global dan Perbankan Global Kumpulan Maybank.

Anggaran Waktu Membaca:
GDP tumbuh 6.5%: Lebih banyak pekerjaan dijangka wujud dalam sektor berdaya tahan

Pekerja memakai pelitup di sekitar kawasan CBD Singapura pada 11 Jan 2021 (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

SINGAPURA: Dengan ekonomi Singapura tumbuh 6.5 peratus bagi suku ketiga tahun ini, lebih banyak pekerjaan dijangka akan wujud dalam sektor-sektor yang lebih berdaya tahan.

Demikian menurut pakar ekonomi Saktiandi Supaat yang juga merupakan Naib Presiden Eksekutif Pasaran Global dan Perbankan Global Kumpulan Maybank.

Dalam anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengenai Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura yang dikeluarkan hari ini (14 Oktober), perangkaan menunjukkan sektor kewangan, maklumat dan komunikasi serta insurans dan khidmat profesional secara satu kelompok berkembang 7.7%, melanjutkan pertumbuhan 10.1% dalam suku sebelumnya.

"Momentum pertumbuhan dalam perkhidmatan kewangan dan infokom juga kekal berdaya tahan. Jadi mereka yang ingin mendapat pekerjaan dalam sektor infokom, perkhidmatan kewangan atau perkhidmatan kewangan masih ada harapan cerah kerana sektor-sektor itu masih kekal berdaya tahan, selain sektor jagaan kesihatan dan juga selain sektor elektronik dan juga kejuruteraan jitu pada masa akan datang," kata Encik Saktiandi kepada BERITAmediacorp.

Sektor pengilangan pula terus naik sebanyak 7.5% walaupun tidak sebaik 18% pada suku kedua.

Ini didorong oleh pertumbuhan dalam semua kelompok terutamanya elektronik dan kejuruteraan jitu, dipacu permintaan global bagi semikonduktor dan peralatan semikonduktor.

Sektor-sektor khidmat makanan, penginapan serta pentadbiran dan khidmat sekadar mencatat 3.1% sahaja ekoran sekatan-sekatan perjalanan dek COVID-19.

Ulas Encik Saktiandi: "Tetapi kami menjangkakan permintaan domestik akan terus meningkat pada suku keempat dengan pembukaan semula ekonomi dan kelonggaran kawalan sempadan.

Mungkin akan kita melihat satu peningkatan kecil tetapi tidak akan melihat peningkatan menyeluruh untuk sektor pelancongan dan pengangkutan udara."

Sektor binaan pula masih tumbuh iaitu hampir 58%.

Bagaimanapun ini hanya separuh berbanding pertumbuhan 117.5% pada suku kedua.

Encik Saktiandi menganggarkan GDP negara akan tumbuh antara 2% hingga 4% pada 2022, lebih rendah daripada unjuran 6-7% tahun ini namun masih tetap suatu pertumbuhan yang baik, kata beliau.

Mengulas mengenai langkah Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memperkukuh nilai dolar Singapura, Encik Saktiandi Supaat berkata dalam tempoh enam bulan mendatang, matawang Singapura akan lebih kuat berbanding matawang Malaysia, Indonesia mahupun Amerika Syarikat.

Ini juga akan bermakna eksport Singapura akan lebih mahal manakala barangan import pula lebih murah.

Encik Saktiandi juga melihat langkah tersebut sebagai bertujuan menangani risiko inflasi tahun depan atau bagi enam bulan akan datang.

Pada "bulan-bulan akan datang (inflasi) dilihat akan naik" kata beliau.

"Jadi untuk menangani peningkatan inflasi dan juga dari segi permintaan global untuk barangn-barangan dari Singapura dan juga pertumbuhan ekonomi yang saya rasa untuk Singapura masih rancak untuk tahun ini dan tahun depan, bermakna MAS telah meningkatkan kenaikan kadar matawang Singapura sedikit.

"Ini untuk menangani kenaikan inflasi teras dan juga untuk sedikit sebanyak menangani ekonomi yang telah bergerak lebih rancak sedikit, mendekati pembukaan semula sepenuhnya untuk Singapura," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan