Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Garuda tawar harga tiket penerbangan 20% lebih murah

Syarikat penerbangan Garuda Indonesia potong harga tiket penerbangannya sebanyak 20 peratus selepas Presiden Joko Widodo menggesa supaya syarikat-syarikat penerbangan tempatan menawarkan tambang yang murah.

Anggaran Waktu Membaca:
Garuda tawar harga tiket penerbangan 20% lebih murah

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 15 Feb 2019 01:05AM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 01:07AM

JAKARTA: Syarikat penerbangan Garuda Indonesia potong harga tiket penerbangannya sebanyak 20 peratus selepas Presiden Joko Widodo menggesa supaya syarikat-syarikat penerbangan tempatan menawarkan tambang yang murah.

Potongan harga itu juga dikuatkuasakan oleh semua khidmat penerbangan Garuda serta anak-anak syarikatnya iaitu Citilink Indonesia, Sriwijaja Air dan NAM Air.

"Ini selaras dengan aspirasi rakyat Indonesia, sejumlah pertubuhan industri negara, dan (harapan) Presiden Indonesia, yang ingin menurunkan harga tiket penerbangan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama sekali dalam sektor pelancongan," kata Ketua Eksekutif Garuda Ari Askhara.

Awal dari itu, media tempatan melaporkan Presiden Jokowi meminta syarikat-syarikat penerbangan menurunkan harga tiket penerbangannya atas permintaan industri pelayanan, yang mahu memikat lebih ramai pelancong.

Menteri Pengangkutan Indonesia Budi Karya memberitahu laman berita Detik pada Rabu (14 Feb) bahawa Presiden Jokowi yang meminta syarikat-syarikat penerbangan supaya menawarkan harga tiket penerbangan lebih rendah. Namun, beliau tidak menjelaskan tentang seberapa besar potongan harga yang perlu ditawarkan.

"Kami menjangkakan permintaan akan meningkat dengan penurunan harga itu. Jadi, pendapatan keseluruhan kami akan seimbang (dengan tempoh sebelum potongan harga ditawarkan)," kata Encik Askhara kepada Reuters menerusi satu kiriman mesej.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas tentang sama ada potongan harga ditawarkan atas permintaan Presiden Jokowi.

Garuda melaporkan kerugian bersih sebanyak $116.86 juta bagi enam bulan pertama 2018, sebelum mencatat keuntungan sederhana bagi keseluruhan tahun 2018.

Syarikat penerbangan itu bertarung bagi bahagian pasaran lebih besar dengan Lion Air, yang pesawatnya pada Oktober lalu terhempas dan meragut 189 nyawa.

Trafik udara tempatan naik dua kali ganda di Indonesia sepanjang sedekad lalu sedang para penduduknya mencapai kemajuan dan harga tiket penerbangan lebih dimampui bagi ramai orang.

Dengan 129 juta penumpang pada 2017, negara Asia Tenggara itu mempunyai pasaran penerbangan ke-10 terbesar di dunia dan dijangka terus berkembang.  

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan