Images
  • pratt and whitney aerospace
    Syarikat pengeluar aeroangkasa Amerika, Pratt & Whitney, mahu mengambil lagi 250 pekerja di Singapura menjelang hujung tahun ini. (Gambar: Pratt & Whitney)

Firma aeroangkasa Pratt & Whitney mahu gajikan lagi 250 pekerja di S'pura; persiap bagi pemulihan industri

SINGAPURA: Syarikat pengeluar aeroangkasa Amerika, Pratt & Whitney, merancang untuk mengambil sekitar 250 pekerja di Singapura menjelang hujung tahun ini dengan lebih banyak jawatan ditawarkan pada 2022.

Ini sedang ia mempersiapkan syarikat bagi pemulihan daripada pandemik COVID-19.

Firma itu juga mempergiat pengambilan pekerja di China, di mana ia mempunyai sebuah pusat enjin di Shanghai, tetapi "jumlah terbesar pengambilan pekerja kini adalah di Singapura", kata Encik Tim Cormier, naib presiden operasi pasaran selepas penjualan di Asia Pasifik.

Sebahagian besar jawatan pekerjaan adalah yang berkaitan dengan penghasilan seperti teknisyen penyenggaraan enjin, teknisyen pembaikan dan inspektor. Ia juga sedang mencari lebih ramai jurutera, pengendali bahan dan penyelia.

Proses merekrut pekerja sudah bermula sekitar dua bulan lalu melalui temu duga tanpa janji temu dan pameran pekerjaan. Syarikat itu juga mendekati institut pengajian tinggi untuk merekrut para pelajar yang akan tamat pengajian pada tahun depan.

MENUJU PEMULIHAN

Pratt & Whitney memulakan latihan pengambilan pekerja lebih setahun selepas pembuat enjin pesawat itu memecat 400 pekerja di lima kemudahannya di sini.

Keputusan yang "sukar tetapi perlu" itu diumumkan pada Ogos tahun lalu dengan syarikat itu memberi sebab "garis masa pemulihan yang berlarutan bagi pesawat penerbangan" di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Ia bukanlah satu-satunya syarikat aeroangkasa yang memberhentikan pekerja di Singapura. Syarikat berbilang negara lain seperti Airbus dan Rolls-Royce mengambil langkah serupa tahun lalu ketika industri tersebut terjejas oleh kekurangan perjalanan udara di seluruh dunia.

Pratt & Whitney sudah beroperasi di Singapura sejak 1983 dan buat masa ini mempunyai hampir 2,000 pekerja.

Syarikat itu menyaksikan kekuatan tambahan dalam bidang-bidang seperti permintaan kargo udara sejagat.

Satu lagi bidang lain yang menunjukkan kekuatan di tengah-tengah pandemik adalah penggunaan pesawat berbadan sempit, kata Encik Cormier, terutamanya sedang perjalanan dalam negeri untuk tujuan perniagaan atau riadah mula disambung semula di negara-negara seperti China dan Amerika Syarikat.

Selain daripada meningkatkan pengambilan pekerja untuk memenuhi bidang-bidang pertumbuhan, pengambilan pekerja baru juga adalah peluang untuk membawa masuk individu dengan kemahiran yang berlainan seperti robotik dan automasi.

Syarikat itu memanfaatkan tempoh kegawatan industri untuk melabur dalam teknologi baru yang akan mengautomasikan proses berulang dan mendigitalkan kemudahannya.

Sebagai contoh, ia memperkenalkan robot kolaboratif untuk melakukan tugasan "biasa" mengambil gambar semasa pemeriksaan mesin.

Syarikat itu, bagaimanapun, menolak untuk mendedahkan berapa banyak yang sudah dibelanjakannya bagi teknologi-teknologi baru tersebut.  

- CNA/FZ/fz

Top