Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Firefly sah gantung penerbangan ke S'pura

Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, FlyFirefly Sdn Bhd, mengesahkan hari ini (22 Nov) bahawa ia akan menggantungkan semua khidmat penerbangan Firefly ke Singapura mulai 1 Disember 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Nov 2018 06:12PM Dikemas Kini : 22 Nov 2018 09:03PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, FlyFirefly Sdn Bhd, mengesahkan hari ini (22 Nov) bahawa ia akan menggantungkan semua khidmat penerbangan Firefly ke Singapura mulai 1 Disember 2018.

Tempoh penggantungan itu akan dikuatkuasakan "sehingga pihak-pihak berkuasa relevan selesai menghuraikan baki isu berhubung rancangan pihak berkuasa Singapura untuk memindahkan operasi pesawat kipas turbo dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar," kata seorang jurucakap.

Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa ia belum diberikan sebarang garis masa tertentu oleh pihak berkuasa mengenai penangguhan tersebut.

"Setelah pihak berkuasa memberi kelulusan muktamad, Firefly akan menyambung semula khidmat penerbangan ke Singapura. Buat masa ini, kami sedang menyediakan perjalanan alternatif bagi semua penumpang yang terjejas," menurutnya.

Firefly enggan memberi sebarang komen apabila ditanya sebab-sebab penangguhan tersebut serta perincian bagi rancangan perjalanan untuk para penumpang yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong, memberitahu The Malaysia Insight bahawa, "Sekitar 12,000 hingga 13,000 penumpang terjejas berdasarkan tiket yang sudah dijual bagi tempoh antara 1 Disember ini hingga tahun depan."

Encik Ong berkata Firefly "tidak mempunyai rancangan alternatif (Plan B)" untuk menyambung semula khidmat ke Singapura.

Beliau sudah menghubungi pihak berkuasa Lapangan Terbang Changi untuk meminta agar syarikat penerbangan itu dapat terus beroperasi dari lapangan terbang tersebut, menurut Encik Ong, sehinggalah isu dengan Lapangan Terbang Seletar dihuraikan. Namun beliau diberitahu bahawa ruang mendarat di Lapangan Terbang Changi tidak diperolehi kerana ia sudahpun diberikan kepada sebuah syarikat penerbangan yang lain.

"Ia tidak lagi bergantung kepada kami," kata Encik Ong. "Ia kini bergantung kepada kedua-dua pihak kawal selia Malaysia dan Singapura."

Pemindahan operasi pesawat kipas turbo ke Lapangan Terbang Seletar dibuat bagi meningkatkan kapasiti di Lapangan Terbang Changi dilaksanakan setelah terminal baru Seletar bernilai S$80 juta dibuka pada Isnin (19 Nov). Penerbangan pesawat kipas turbo akan mula beroperasi dari terminal baru Seletar mulai 1 Dismber.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa Firefly sepatutnya menjadi syarikat penerbangan komersil yang pertama untuk mengendalikan operasi di terminal baru itu, yang mempunyai keupayaan untuk menguruskan 700,000 penumpang setiap tahun.

Syarikat penerbangan tambang murah tersebut, iaitu anak syarikat Malaysia Arlines, adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang buat masa ini mengendalikan pesawat kipas turbo antara Lapangan Terbang Changi dengan Subang, Ipoh dan Kuantan. Firefly mengendalikan 20 penerbangan setiap hari. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan