Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Firefly rugi hingga RM20 juta sebulan akibat penggantungan Seletar

Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Firefly, dijangka mengalami kerugian sehingga RM20 juta (S$6.6 juta) sebulan selepas penerbangannya ke Singapura digantung, menurut ketua eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG) Izham Ismail.

Anggaran Waktu Membaca:
Firefly rugi hingga RM20 juta sebulan akibat penggantungan Seletar

Gambar fail pesawat Firefly.

Diterbitkan : 11 Jan 2019 04:47PM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 04:50PM

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Firefly, dijangka mengalami kerugian sehingga RM20 juta (S$6.6 juta) sebulan selepas penerbangannya ke Singapura digantung, menurut ketua eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG) Izham Ismail.

Laporan Malaysian Insight pada Jumaat (11 Jan) menukil Encik Izham sebagai berkata bahawa penggantungan itu 'menjejas teruk' MAG. Firefly adalah anak syarikat MAG.

"Kerugian pada pendapatan (akibat penggantungan) adalah RM15 juta, jadi kami menganggarkan kerugian pendapatan antara RM15 juta (S$4.95 juta) sehingga RM20 juta (S$6.6 juta) setiap bulan," kata beliau.

"Kami terpaksa melakukannya, membatalkan penerbangan dan membuat bayaran balik kepada penumpang... Kami perlukan huraian dengan segera."

November lalu, Firefly mengumumkan bahawa ia akan menggantung penerbangan ke Singapura bermula 1 Disember. Sebelum itu, syarikat tersebut mengendalikan 20 penerbangan pesawat kipas turbo setiap hari antara Changi dengan Subang, Ipoh serta Kuantan.

Firefly tidak dapat kebenaran penguasa penerbangan awam Malaysia untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar.

Terminal penumpang yang baru dinaik taraf di Lapangan Terbang Seletar itu mula beroperasi pada 19 November, dengan penerbangan pesawat kipas turbo dijadual bermula pada bulan Disember.

Changi Airport Group sebelum itu menyatakan bahawa memindahkan "operasi pesawat lebih kecil dan perlahan" ke Seletar akan membantu memanfaatkan penggunaan sumber di Changi.

Malaysia membantah apabila Singapura menerbitkan prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, sambil mendakwa bahawa ia akan membataskan pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang.

Pada 25 Disember, Malaysia menubuhkan kawasan larangan kekal di Pasir Gudang, yang menurut Kementerian Pengangkutan Singapura (MOT) akan menjejas operasi sedia ada pesawat.

Pada awal Disember, Malaysia menyatakan ia mahu mengambil balik "ruang udara yang diwakilkan" di selatan Johor atas keprihatinan berhubung kedaulatan dan kepentingan negara.

Di bawah aturan sedia ada, Singapura menguruskan ruang udara selatan Johor, yang bermakna Singapura menyediakan khidmat kawalan trafik udara di ruang udara berkenaan.

PENDEKATAN DIPLOMATIK

Pada Selasa, menteri-menteri luar Singapura dan Malaysia dalam satu kenyataan bersama berkata bahawa kedua-dua pihak akan secara serentak menggantung kawasan larangan kekal Malaysia di Pasir Gudang dan pelaksanaan prosedur ILS di Lapangan Terbang Seletar.

Penggantungan itu berkuat kuasa selama sebulan.

Sementara itu, menteri pengangkutan kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan "tidak lama lagi" untuk merundingkan kawasan larangan kekal di Pasir Gudang dan pelaksanaan prosedur ILS bagi menjaga keselamatan dan kecekapan penerbangan awam, menurut kenyataan itu.

Selain itu, Singapura dan Malaysia bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja berhubung isu-isu perairan melibatkan had pelabuhan Johor Bahru.

Pada hari yang sama, Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata adalah penting untuk Singapura dan Malaysia saling mencari huraian yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.

Menyusuli pertemuan menteri-menteri luar itu, CEO Firefly Philip See berkata beliau mengirimkan surat kepada Changi Airport Group untuk meminta agar syarikat penerbangan itu diberikan semula ruang pendaratan bagi pesawat-pesawatnya.

"Nada para pemimpin lebih bersikap diplomatik," kata Encik See yang ditukil Malaysian Insight.

"Kami juga mahukan pendekatan lebih diplomatik dan meminta pihak lapangan terbang Singapura dan mengatakan... harap dapat memenuhi permintaan kami dan memperuntukkan ruang pendaratan sementara di Changi."

Sumber : CNA/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan