Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Fernandes dan pengerusi lepaskan jawatan dalam AirAsia Group berikutan siasatan rasuah

 Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Encik Kamarudin Meranun akan melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan, berkuat kuasa serta merta, berikutan siasatan rasuah Airbus.

Anggaran Waktu Membaca:
Fernandes dan pengerusi lepaskan jawatan dalam AirAsia Group berikutan siasatan rasuah

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes. (Gambar: AFP/Sadiq Asyraf)

Diterbitkan : 03 Feb 2020 10:58PM Dikemas Kini : 03 Feb 2020 11:00PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Encik Kamarudin Meranun akan melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan, berkuat kuasa serta merta, berikutan siasatan rasuah Airbus.

Syarikat penerbangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pelepasan itu adalah untuk tempoh dua bulan atau satu tempoh lain yang dianggap sesuai.

Berikutan keadaan ekonomi semasa yang dihadapi oleh industri syarikat penerbangan, sebuah Jawatankuasa Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif yang ditubuhkan oleh Lembaga Pengarah AirAsia Group telah memutuskan untuk mengekalkan mereka sebagai penasihat kepada syarikat dalam tempoh dua bulan tersebut.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli bukan eksekutif lembaga pengarah syarikat penerbangan itu.

"Berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa berkenaan, Tharumalingam Kanagalingam telah dilantik sebagai pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group," katanya.

Encik Kamarudin dan Encik Fernandes akan dilantik semula sebagai ahli lembaga pengarah bukan bebas bukan eksekutif AirAsia Group.

AirAsia Group dan AirAsia X Bhd menjunam dalam perdagangan aktif selepas laporan mengenai siasatan rasuah itu timbul.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam berkata ia akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE yang mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

AirAsia menerusi kenyataannya pada Sabtu lepas, menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan berkata ia tidak pernah terlibat dalam mana-mana siasatan Serious Fraud Office United Kingdom (SFO) mengenai Airbus atau diberikan sebarang peluang untuk menyediakan sebarang maklumat atau penjelasan kepada SFO.

AirAsia berkata demikian merujuk rencana bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” di laman web focusmalaysia.my serta artikel-artikel lain yang tersiar di media berkaitan Persetujuan Pendakwaan Tertunda yang dicapai oleh Airbus SE dan SFO pada 31 Jan, 2020.

Rencana berkenaan mendakwa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus adalah dikaitkan secara tidak wajar dengan penajaan oleh Airbus untuk sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

“AirAsia secara tegasnya menolak dan menafikan sebarang dan semua dakwaan salah laku ini,” menurut syarikat penerbangan kos rendah itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan ke atas kedua-dua syarikat itu dengan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom.   

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan