Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Fatimah Mohsin sasar tembusi pasaran Timur Tengah pada 2020

Beliau mungkin boleh digelar Ratu Pengantin Singapura. Manakan tidak, selepas dua dekad dalam industri perkahwinan, Fatimah Mohsin terus menguasai persada tempatan dengan rekaannya yang moden dan elegan.

Anggaran Waktu Membaca:
Fatimah Mohsin sasar tembusi pasaran Timur Tengah pada 2020

Fatimah Mohsin kembali ke kawasan Arab Street dengan pelancaran galeri barunya selepas tujuh tahun. (Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

BERITAmediacorp: Beliau mungkin boleh digelar Ratu Pengantin Singapura. Manakan tidak, selepas dua dekad dalam industri perkahwinan, Fatimah Mohsin terus menguasai persada tempatan dengan rekaannya yang moden dan elegan.

Yang terbaru, beliau kembali 'menguasai' semula kawasan Arab Street dengan pelancaran galeri barunya selepas tujuh tahun 'menghilang'!

"Memang suka suasananya di sini, tetapi pada masa itu, harga memang melonjak tinggi dan apabila saya memulakan perniagaan itu, tak berani untuk memberi komitmen yang lama.

"Jadi bila saya buka kedai di Arab Street ini, saya ingin membuat sesuatu yang berbeza dan pelaburannya juga lebih banyak. Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan tempat ini dan ini juga kali pertama di jalan raya utama Arab Street. Seronok sangat," kongsi Fatimah kepada BERITAmediacorp.

(Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

‘Gedung baru’ Fatimah Mohsin yang dirasmikan minggu lalu (22 Dis), terletak di 148 Arab Street. Ia juga dipercayai yang pertama di negara ini yang menggabungkan konsep galeri pengantin, runcit dan spa kuku (Karva) di bawah satu bumbung.

Cabang runcit itu termasuk jenama barangan hiasan rumah milik beliau, Propupstore dalam satu bangunan. Pembukaan kedai baru itu yang menerima tajaan separa dari syarikat ubah elok, dianggarkan menelan belanja lebih $150,000.

(Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

"Saya perlukan kedai yang tak segan kita nak panggil orang. Dengan adanya kedai saya di sini, saya undang pelanggan saya dari Malaysia, Brunei dan Australia.

"Kampong Glam akan menjadi lokasi pelancong yang utama di sini dan suasana di kawasan Arab Street ini memang menyeronokkan. Alhamdulilllah ia lebih mudah untuk semua orang dan saya rasa ia langkah baik untuk perniagaan ini," kongsi Fatimah.

(Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

SEDIA GERAK KE PASARAN LUAR, TERMASUK TIMUR TENGAH

Pernah terlibat dalam pertunjukan fesyen perkahwinan Kuala Lumpur dan Minggu Fesyen Sopan London, Fatimah Mohsin jelas lebih bersedia bergerak ke pasaran luar negara.

Malah, pengalaman yang ditimbanya itu juga mendorong beliau untuk terus mencabar diri agar setaraf dengan pereka antarabangsa.

"Kita tidak boleh bersikap sambil lewa hanya kerana nama kita di atas, (kerana nama kita tidak) akan sentiasa berada di sana. Akan ada masa yang kita akan turun, dan saya tahu bisnes ini banyak turun naik, tetapi dalam masa sukar juga, kita harus fikirkan idea baru dan berbeza.

(Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

Beliau juga berkongsi akan mengambil masa "dua hingga tiga tahun" untuk bertapak dan mewujudkan penjenamaan Fatimah Mohsin di negara-negara lain.

"Buat masa ini, kami sedang berkolaborasi dengan individu-individu penting membawa konsep keseluruhan itu ke Malaysia, Indonesia, Australia dan Timur Tengah insya-Allah.

"Tahun mendatang ini kami membuat banyak kajian pasaran. Kami menyasar membuka kedai di Timur Tengah pada 2020," ujar Fatimah.

Malah, Fatimah juga berkongsi beliau bakal memperluaskan bahagian runcit di kedainya melalui kolaborasi dengan lebih ramai pereka di Malaysia. Bukan sahaja pada musim raya, ia akan turut merangkumi pakaian 'Ready to Wear' seharian, katanya.

FATIMAH MOHSIN ENGGAN JADI 'OLD-SCHOOL'

Meskipun sudah menceburi industri perkahwinan sejak 20 tahun lalu, Fatimah akur beliau harus terus mengikuti perkembangan trend dan fesyen bagi terus menarik minat golongan muda.

"Kita tak boleh duduk diam sebab generasi baru kini mereka semua banyak memanfaatkan media sosial, jadi saya pastikan saya ada pasukan yang selalu bergerak maju.

"Saya sendiri harus selalu pertingkatkan diri, kena belajar dan perlu tahu apa yang mereka suka. Sebab (sudah) 20 tahun, bila-bila masa saja orang boleh cakap kita ‘old-school’ jadi saya tak nak, saya masih mengekalkan jenama saya," kata Fatimah.

Sebagai seseorang yang berpandangan jauh, beliau juga dapat menjangkakan gelombang fesyen yang mungkin berlaku dalam lima tahun akan datang.

"Saya rasa akan ada ramai individu penting dari serata dunia yang tidak akan membeli dari negara sendiri. Mereka mahukan pereka desain yang unik dan saya mahu ketengahkan rekaan yang unik setaraf dengan peringkat antarabangsa.

"Tentunya banyak pelaburan, (tetapi) sekarang tentang bagaimana mengukuhkan jenama kami secara global," tekad Fatimah.

Yang pasti, dengan azam dan wawasan yang dipamerkan beliau sepanjang dua dekad ini, jenama Fatimah Mohsin dijangka terus berkembang dan mungkin bakal mengharumkan nama Singapura di luar negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan