Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

FairPrice khaskan waktu untuk warga emas, kurang upaya membeli-belah

Kedai-kedai pasar raya NTUC FairPrice akan memperuntukkan masa sejam setiap Isnin untuk membolehkan "golongan yang terdedah kepada risiko dalam masyarakat" melakukan pembelian barangan dapur, katanya pada Selasa (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2020 05:00PM Dikemas Kini : 24 Mar 2020 10:49PM

SINGAPURA: Kedai-kedai pasar raya NTUC FairPrice akan memperuntukkan masa sejam setiap Isnin untuk membolehkan "golongan yang terdedah kepada risiko dalam masyarakat" melakukan pembelian barangan dapur, katanya pada Selasa (24 Mac).

Percubaan bagi Waktu Beli-Belah Keutamaan itu bertujuan memperbaiki langkah jarakan selamat di tengah-tengah "situasi COVID-19 yang meningkat", menurut FairPrice dalam satu kenyataan.

Golongan terdedah kepada risiko dalam masyarakat termasuk anggota Generasi Perintis, golongan kurang upaya dan wanita yang hamil.

Mulai Isnin depan (30 Mac), cawangan pasar raya FairPrice akan mengadakan Waktu Beli-Belah Keutamaan pada setiap hari Isnin semasa satu jam pertama waktu operasi biasa pasar raya. Bagi cawangan FairPrice yang beroperasi selama 24 jam, waktu yang diperuntukkan adalah antara 7 pagi dengan 8 pagi.

Untuk membeli-belah semasa tempoh itu, anggota Generasi Perintis - iaitu rakyat Singapura yang dilahirkan pada atau sebelum 31 Disember 1949 dan memperolehi kerakyatan pada atau sebelum 31 Disember 1986 - perlu menunjukkan kad Generasi Perintis mereka.

Mereka juga akan terus menikmati diskaun tambahan menerusi skim diskaun Generasi Perintis apabila mereka membeli-belah pada setiap hari Isnin dan Rabu.

Wanita yang hamil dan golongan kurang upaya boleh memberitahu para kakitangan di pintu depan pasar raya untuk dibenarkan masuk semasa tempoh yang ditetapkan.

CEO FairPrice Group Seah Kian Peng berkata: "Sedang kami terus mempertingkatkan langkah berjaga-jaga bagi menyesuaikan diri dengan situasi COVID-19, adalah penting untuk kami peka tentang golongan yang berisiko sedang mereka membeli-belah bagi barangan keperluan mereka di pasar raya kami.

"Tempoh beli-belah yang dikhaskan bagi anggota Generasi Perintis dapat melindungi kebajikan mereka dan menyediakan mereka lebih banyak ruang dan waktu.

"Kami akan memperkenalkan dan menilai semula inisiatif ini secara proaktif bagi memenuhi keperluan para pembeli dan melindungi kepentingan masyarakat dalam situasi mencabar ini. Kami menghargai sikap memahami dan sokongan daripada semua pelanggan kami."

LANGKAH JARAK SELAMAT

Menurut rangkaian pasar raya NTUC FairPrice, ia juga telah melaksanakan langkah berjaga-jaga di tengah-tengah situasi COVID-19.

"Langkah-langkah ini termasuk menggalakkan para pelanggan untuk mengekalkan jarak selamat seperti menerusi penanda pada lantai di barisan bayaran, poster-poster dalam kedai dan pengumuman. Mencuba sampel makanan juga akan dihentikan hingga makluman lanjut," menurut FairPrice.

Rejim pembersihan juga dipertingkatkan khususnya bagi permukaan yang disentuh ramai seperti besi pemegang, troli, bakul dan kaunter bayaran.

"Kesemua kakitangan dan pembekal akan diperiksa suhu badan mereka sekurang-kurangnya dua kali sehari dan cecair pembersih tangan juga disediakan untuk penggunaan para pelanggan," menurut FairPrice lagi.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan