Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fahmi Aliman seru golongan pekerja bergaji rendah terus 'kekal bekerja dan ambil latihan untuk naik taraf'

"Ia (gaji pekerja bergaji rendah) perlu ditingkatkan dengan cara yang mampan, jika kadarnya terlalu cepat, para peniaga juga tidak boleh mengatasinya dan akhirnya, para pekerja juga tidak akan ada pekerjaan," kata Pengarah bagi Sekretariat Divisyen Mobilisasi NTUC Fahmi Aliman.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Peningkatan gaji di bawah Model Gaji Progresif (PWM) wajar dilakukan secara bertahap-tahap dan mampan agar tidak meninggalkan kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Demikian menurut Pengarah bagi Sekretariat Divisyen Mobilisasi NTUC Fahmi Aliman, yang turut menyeru agar golongan tersebut terus "kekal bekerja dan ambil latihan untuk naik taraf."

BAHAYA JIKA DILAKUKAN TERLALU CEPAT

Model Gaji Progresif (PWM) akan diperluaskan kepada lebih banyak sektor menjelang tahun depan dan peningkatan gaji pekerja perlu dilakukan sejajar dengan kemampuan para majikan untuk menanganinya.

Dalam pada itu, Encik Fahmi akur tentang suara-suara yang mendesak agar peningkatan gaji di bawah PWM perlu lebih dipercepatkan.

Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Fahmi Aliman. (Gambar: Facebook/Fahmi Aliman)

Namun Encik Fahmi yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kecil bagi Urusan Gaji berkata jika ia dilakukan terlalu cepat dan perniagaan tidak dapat mengimbangi kos tersebut, ia akan memberi kesan yang buruk kepada para pekerja juga.

"Ia perlu ditingkatkan dengan cara yang mampan, jika kadarnya terlalu cepat, para peniaga juga tidak boleh mengatasinya dan akhirnya, para pekerja juga tidak akan ada pekerjaan," jelas Encik Fahmi.

Encik Fahmi dan kumpulan kerjanya juga sedang memikirkan bagaimana untuk menaikkan gaji pekerja bergaji rendah melepasi gaji median secara bertahap-tahap.

"Kita dapat memahami cabaran yang dihadapi setiap industri dan cara menanganinya. Setiap industri berbeza dari satu sama lain. Yang penting adalah kita dapat memastikan bahawa pertumbuhan gaji dapat menutup jurang dengan pekerja yang dapat gaji median. Jadi dengan Median Plus dan peluasan PWM, kita dapat menaikkan gaji pekerja gaji rendah untuk melepasi gaji median," kata Encik Fahmi.

PENTING UNTUK TERUS BEKERJA DAN TINGKATKAN DIRI

Dalam masa yang sama, Encik Fahmi juga menasihatkan golongan pekerja bergaji rendah untuk "kekal bekerja".

Ia agar mereka dapat mempertingkatkan diri dan menyertai sektor-sektor yang berkembang, terutama sekali pasca COVID-19.

Encik Fahmi berkata: "Lebih penting sekarang adalah untuk mereka kekal kerja, jangan tidak kerja, mengambil sedikit masa untuk latihan dan menaik taraf. Kalau dilakukan dengan cara yang betul, ia akan memberi impak positif pada jangka panjang."

"Selepas itu, mungkin akan mendapat gaji lebih tinggi dan gaji itu boleh digunakan untuk banyak perkara,untuk pendidikan, pengayaan untuk kanak-kanak. Ia akan membantu anak-anak merasa lebih yakin dalam pelajaran, pemakanan yang bagus di sekolah dan ia akan memberi kesan positif kepada keluarga tersebut," tambahnya.

LEBIH BANYAK PERLINDUNGAN BAGI PEKERJA PENGHANTARAN MAKANAN

Dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan baru-baru ini, PM Lee turut menyuarakan keprihatinan tentang para pekerja penghantaran yang tidak mempunyai kontrak pekerjaan.

Encik Fahmi yang juga Pengarah bagi Sekretariat Divisyen Mobilisasi NTUC berkongsi bahawa kesatuan kerja itu kini sedang berusaha bagi meningkatkan perlindungan bagi golongan tersebut.

"Pertama adalah terma dan syarat pekerjaan, kedua adalah keadaan pekerjaan. Dan yang ketiga, adalah perlindungan kesihatan dan kecederaan. Di sini di mana NTUC melibatkan diri."

"Ini demi memastikan luahan mereka didengar dan bagaimana kita dapat mengadakan situasi berpihak kepada mereka serta huraian. Ia juga untuk membuat mereka lebih selesa dan diwakili," kata Encik Fahmi.

Beliau juga akur akan adanya jumlah besar pekerja Melayu dalam sektor tersebut.

Dalam pada itu, Encik Fahmi juga berharap bahawa para pekerja penghantaran hanya bekerja dalam sektor itu "buat sementara sahaja".

"Setelah bekerja dalam sektor dengan kos penyertaan rendah ini, pekerja itu akan merasa selesa, dan akhirnya sukar untuk keluar dari sektor tersebut. Jadi, yang menjadi perhatian saya adalah sebenarnya bagaimana memastikan bahawa mereka keluar dari ekonomi gig ini dan sertai sektor yang mereka minati atau mempunyai latihan di sana," jelas Encik Fahmi.

Selain itu, Encik Fahmi turut menyambut baik langkah untuk menerapkan garis panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) dalam undang-undang sebagai langkah bagi menangani diskriminasi di tempat kerja dengan lebih berkesan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan