Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Facebook intai peluang meterai perjanjian pelesenan di Kanada

Facebook Inc sedang meneroka kemungkinan menandatangani perjanjian pelesenan dengan agensi-agensi media Kanada dalam masa beberapa tahun mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook intai peluang meterai perjanjian pelesenan di Kanada

Logo Facebook (Gambar fail: REUTERS/Stephen Lam)

Diterbitkan : 25 Feb 2021 09:17AM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 09:18AM

VANCOUVER: Facebook Inc sedang meneroka kemungkinan menandatangani perjanjian pelesenan dengan agensi-agensi media Kanada dalam masa beberapa tahun mendatang.

Ini sekali gus akan memperluaskan pelaburannya dalam inisiatif-inisiatif kewartawanan, menurut sumber yang dekat dengan gergasi media sosial itu pada Rabu (24 Feb).

Langkah tersebut diambil sedang pemerintah Kanada bersiap sedia untuk memperkenalkan undang-undang dalam masa beberapa bulan mendatang, serupa dengan model yang mencetuskan kontroversi di Australia, yang memaksa syarikat-syarikat teknologi seperti Facebook dan Google Alphabet Inc membayar syarikat-syarikat media bagi mengongsi kandungan beritanya.

Namun menurut sumber tersebut, Facebook menyifatkan keadaan di Australia sebagai unik.

"Anda melihat sebuah negara yang sebahagian besarnya didominasi oleh sebuah konglomerat media yang begitu berpengaruh ke atas pemerintah dan dasar-dasar pemerintah," menurut sumber itu, sambil berkata kebanyakan negara tidak seperti itu.

Syarikat News Corp milik Rupert Murdoch menguasai dua pertiga akhbar utama Australia.

Perbincangan mengenai pelesenan diadakan di peringkat tinggi dan sumber itu membandingkan kemungkinan menandatangani satu perjanjian pelesenan dengan yang diperolehi oleh Facebook untuk menggunakan muzik di Instagram.

Sumber itu, yang tidak diberi kebenaran untuk bercakap tentang perkara tersebut secara terbuka, enggan mendedahkan syarikat penerbitan mana yang akan dipertimbangkan oleh Facebook untuk mengadakan rundingan mengenai pelesenan atau seberapa banyak wang yang diperuntukkan.

Minggu lalu, Menteri Warisan Kanada, Steven Guilbeault, yang bertanggungjawab melakar undang-undang itu, mengutuk keputusan Facebook untuk menutup semua laman berita di Australia selama beberapa hari dan menyatakan bahawa perkara seperti itu tidak akan menyekat Ottawa daripada memperkenalkan peraturan-peraturan baru.

Facebook semalam (24 Feb) mengumumkan bahawa ia akan menaikkan pembiayaan dana bagi syarikat-syarikat penerbitan kepada AS1 bilion (S$1.32 bilion) dalam tempoh tiga tahun.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan