Images
  • Instagram
    (Gambar: AP Photo/Jenny Kane, File)

Facebook bakal perkenal Instagram untuk kanak-kanak bawah 13 tahun

MENLO PARK, California: Facebook menyatakan ia sedang mencipta aplikasi Instagram versi kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

Kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan menggunakan aplikasi sedia ada disebabkan oleh undang-undang privasi persekutuan.

Syarikat itu mengesahkan dalam satu laporan oleh Buzzfeed News pada Jumaat (19 Mac) bahawa ia sedang "meneroka pengalaman Instagram yang dikawal oleh ibu bapa".

Langkah itu diambil sehari selepas Facebook mengumumkan beberapa langkah baru yang bertujuan untuk memastikan para remaja selamat di Instagram. Namun pengumuman itu tidak pula menyebut tentang rancangan untuk mencipta aplikasi Instagram untuk kanak-kanak.

Para pengkritik bagaimanapun segera menzahirkan kebimbangan dan menyatakan bahawa Instagram mesra kanak-kanak hanyalah muslihat Facebook untuk memperluaskan pangkalan penggunanya dan membiasakan kanak-kanak dengan produknya supaya ia boleh menjana pendapatan daripada mereka kelak.

"Facebook adalah salah satu ancaman terbesar dari segi privasi kanak-kanak," kata Cik Rasha Abdul-Rahim, pengarah bersama Amnesty Tech, sayap bukan untuk keuntungan Amnesty International.

"Perlindungan online lebih ketat bagi kanak-kanak sangat penting. Namun hakikatnya Facebook akan mengutip data kanak-kanak dan menjana keuntungan daripada perincian profil mereka."

Facebook melancarkan aplikasi mesej kanak-kanak, iaitu Messenger Kids, pada 2017, memasarkannya sebagai cara untuk kanak-kanak berhubungan dengan anggota keluarga dan rakan-rakan yang diluluskan oleh ibu bapa mereka. Ia tidak memberikan kanak-kanak akaun Facebook atau Messenger berasingan. Sebaliknya, aplikasi tersebut berfungsi sebagai lanjutan daripada akaun ibu bapa mereka dan ibu bapa dapat mengawal penggunaannya, seperti memutuskan siapa yang boleh bersembang dengan anak mereka.

Namun, ramai pakar pembangunan kanak-kanak menggesa Facebook supaya menarik balik aplikasi itu kerana mereka tidak perlu bersembang di media sosial.

"Semakin ramai kanak-kanak yang meminta ibu bapa mereka sama ada mereka boleh menyertai aplikasi itu yang membantu mereka berhubungan dengan rakan-rakan," menurut Facebook dalam kenyataannya.

"Sekarang tidak banyak pilihan bagi ibu bapa, jadi kami berusaha untuk membangunkan produk tambahan - seperti Messenger Kids - yang sesuai untuk kanak-kanak dan dikendalikan oleh ibu bapa."

Apabila ia melancarkan Messenger Kids, Facebook menyatakan ia tidak menunjukkan iklan atau mengambil data bagi pemasaran untuk kanak-kanak.

- AP/NK/nk

Top