Images
  • xxon
    (Gambar fail: Sergio Moraes/Reuters)

Exxon Mobil intai pelaburan berbilion dolar di loji penapisan S'pura

SINGAPURA: Exxon Mobil Corp menyasarkan pelaburan berbilion dolar bagi loji penapisannya di Singapura, iaitu yang terbesar bagi syarikat itu, sebelum peraturan-peraturan minyak kapal global yang baru dikuatkuasakan pada 2020, kata seorang eksekutif kanan hari ini (3 Okt).

"Sekiranya projek itu diteruskan, kami merancang untuk menggunakan teknologi hak milik sendiri yang akan membantu merubah produk-produk dengan nilai lebih rendah menjadi produk lebih bersih dan tinggi nilainya, termasuk bahan api 0.5 peratus sulfur, yang kami percaya pilihan sesuai bagi kebanyakan sektor marin," kata Matt Bergeron, naib presiden Perniagaan Bahan Api Asia Pasifik di Exxon, dalam satu sidang bunker.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sedang memperkenalkan peraturan-peraturan baru terhadap bahan api marin mulai tahun 2020, mengehadkan kandungan sulfur kepada 0.5 peratus, berbanding 3.5 peratus buat masa ini, bagi membendung pencemaran yang disebabkan kapal-kapal dunia.

Industri perkapalan dan minyak terpaksa membuat persiapan bagi peralihan tersebut dan sudah membuat pelaburan besar bagi mematuhi piawai baru yang diumumkan pada 2016.

Loji penapisan di Singapura merupakan yang terbesar milik Exxon, dengan kapasiti sekitar 592,000 tong setiap hari. Singapura menempatkan kompleks petrokimia bersepadu terbesar bagi gergasi minyak itu.

Exxon pada September lalu mengumumkan ia merancang untuk melaburkan lebih AS$650 juta (S$900 juta) untuk mempertingkat loji penapisan terbesar Britain, Fawley, di pantai selatan England. 

- Reuters/AQ/aq

Top