Images
  • expedia
    (Gambar: Mediacorp)

Expedia, AI Singapore jalin kerjasama tingkatkan pencarian online pelawat Asia

SINGAPURA: Usaha Singapura untuk mengembangkan keupayaan kecerdasan buatannya (AI) membuahkan hasil, dengan gergasi pelancongan global Expedia Group baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan AI Singapura (AISG) untuk membangunkan enjin pencarian lebih tepat bagi bahasa-bahasa Asia seperti Jepun.

Kedua-dua pihak akan membangunkan teknologi AI untuk hartanah online Expedia, bagi mengubah pengalaman pencarian online untuk para pelancong Asia, menurut satu kenyataan bersama pada Isnin (9 Sep).

Encik Laurence Liew, Pengarah Inovasi Industri AI di AISG, memberitahu Mediacorp dalam satu emel bahawa ia sedang menyuntik dana sebanyak S$180,000 ke dalam projek itu dan akan menubuhkan sebuah pasukan kejuruteraan terdiri daripada mentor-mentor sepenuh masa, pengurus projek dan pelatih daripada Program Perantisan AI.

Expedia akan memadankan pendanaan AISG menerusi wang tunai, tenaga manusia dan sumbangan dari segi sumber, kata Pengarah Kanan bagi Produk dan Teknologi, Kevin Ng.

Encik Ng, dalam satu jawapan menerusi emel, berkongsi bahawa pencarian-pencarian berkaitan pelancongan di wadah-wadah mereka tidak selalunya memberikan maklumat yang tepat apabila ditulis menggunakan bahasa ibunda Asia, khususnya, bahasa Jepun.

"Sedang pencarian dalam bahasa Inggeris hampir sempurna, hanya kira-kira separuh pencarian pelancongan yang dilakukan dalam bahasa Jepun menghasilkan keputusan tepat," jelas beliau.

Inilah sebabnya projek itu akan menggunakan pemprosesan bahasa semula jadi dan kaedah pembelajaran mesin untuk membangunkan model berasaskan AI untuk mempertingkat ketepatan pencarian online dalam bahasa Jepun, sebelum melanjutkannya kepada bahasa-bahasa lain seperti Korea, Cina yang dipermudah dan Cina tradisonal.

Antara huraian yang sedang dibangunkan secara bersama menerusi program Eksperimen 100 (100E) adalah menggabungkan kaedah-kaedah pra-pemprosesan yang lebih baik bagi pembahagian perkataan, kata Encik Ng, sambil menambah bahawa produk itu dijangka dilancarkan dalam masa sembilan bulan.

Gergasi pelancongan AS itu juga pasti akan meraih manfaat selepas ia berjaya menembusi pasaran lebih luas di Jepun.

Memandangkan Jepun adalah salah satu pasaran pelancongan terbesar di Asia, mempertingkatkan ketepatan pencarian dan kecekapan dalam bahasa itu "membuka potensi yang besar bagi (Expedia) untuk menembusi pasaran luas ini," tambah eksekutif tersebut.

Program 100E, yang memadankan syarikat-syarikat yang berhasrat untuk menggunakan AI dengan para pengkaji tempatan, menerima sambutan hangat dari pihak industri dan lebih 300 syarikat sudah menyatakan minat mereka sejak ia dilancarkan pada 2017.

Sebanyak 40 daripada projek-projek tersebut sudah diluluskan, menurut kenyataan media berkenaan.

- CNA/AY/ai

Top