Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

EMA bekerja rapat dengan peruncit elektrik bagi pastikan tiada gangguan pada pengguna

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menyatakan ia sedang bekerja rapat dengan para peruncit elektrik yang berdepan dengan cabaran di tengah-tengah keadaan "luar biasa" dalam pasaran tenaga. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Oct 2021 08:26PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 11:45PM

SINGAPURA: Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menyatakan ia sedang bekerja rapat dengan para peruncit elektrik yang berdepan dengan cabaran di tengah-tengah keadaan "luar biasa" dalam pasaran tenaga.

Para peruncit elektrik yang kurang melindungi kedudukan mereka mungkin terdedah kepada naik turun harga, menurut agensi pemerintah itu dalam kenyataan medianya pada Sabtu (16 Okt).

Sesetengah peruncit mungkin mendapatinya "sukar" untuk terus bertahan, menurut EMA. Lantas, menurutnya, mereka mungkin memilih untuk mengundurkan diri dari pasaran.

"Ini adalah akibat dari keputusan perniagaan mereka dan boleh dijangkakan dalam pasaran elektrik yang terbuka di mana para peserta boleh keluar masuk pasaran dan penggabungan pasaran mungkin berlaku," jelas EMA.

Komen itu dikeluarkan beberapa hari setelah dua peruncit elektrik, iSwitch dan Ohm Energy, menghentikan operasi mereka di Singapura setelah menyaksikan pasaran elektrik yang tidak menentu.

Akaun-akaun para pelanggan di bawah Ohm Energy dan iSwitch akan dipindahkan ke SP Group, masing-masing dari 20 Oktober dan 12 November.

PERLINDUNGAN BUAT PELANGGAN

Bagi peruncit yang menghentikan operasi mereka sepenuhnya, EMA menyatakan ia akan memastikan peralihan lancar bagi para pelanggan yang terjejas.

"Peruncit yang ingin menarik diri dari pasaran elektrik runcit dikehendaki untuk pertama sekali mendampingi peruncit lain untuk mengambil alih pelanggan mereka di bawah terma dan syarat kontrak yang sama," menurut EMA.

Jika peruncit yang mengundurkan diri itu tidak dapat menggantikan atau memindahkan kontraknya kepada peruncit lain, maka para pelanggannya akan dipindahkan ke SP Group, tambah EMA.

Menurut penguasa itu, pelanggan terjejas akan mempunyai pilihan untuk menerima pemindahan atau menukar kepada peruncit lain mengikut pilihan mereka.

"Tidak akan ada gangguan pada bekalan elektrik pelangaan mereka."

Pihak berkuasa menambah peruncit juga tidak dibenarkan mengenakan pelanggan sebarang yuran pemberhentian awal.

Ia menambah peruncit juga dikehendaki untuk mengembalikan sebarang baki wang cengkeram keselamatan setelah mengimbangi bayaran tertunggak pengguna.

EMA menyatakan ia juga "bersedia" untuk membenarkan peruncit menggantung sementara operasi mereka dengan memindahkan pelanggan mereka ke SP Group sementara mereka "memperkukuhkan perniagaan dan memudahkan peralihan pelanggan dengan bayaran ex-gratia (muhibah)". Pembayaran ex-gratia adalah yang dibuat secara sukarela dan bukannya terikat dengan mana-mana kewajiban undang-undang.

Bagi peruncit yang berhasrat untuk meneruskan operasi, penguasa itu menyatakan ia sedang membantu dalam usaha untuk melindunginya daripada sebarang naik turun harga pada masa hadapan.

KEBANYAKAN PENGGUNA DILINDUNGI DARIPADA KETIDAKTENTUAN HARGA

Pasaran elektrik borong mengalami ketidaktentuan harga lebih tinggi bagi tempoh berlarutan sepanjang dua minggu lalu, menurut EMA dalam kenyataan medianya, sambil mengaitkan perkara itu dengan beberapa faktor.

Di peringkat global, harga bagi gas asli cecair sudah meningkat dengan mendadak, menurut penguasa itu.

Ia dipacu oleh peningkatan pada permintaan global bagi gas asli dan kemerosotan pada pengeluaran gas asli serta batu arang.

Di Singapura, terdapat permintaan elektrik yang lebih tinggi daripada biasa dengan permintaan puncak sistem baru sebanyak 7,667 megawat dicatatkan pada 12 Oktober.

“Terdapat juga sekatan gas asli yang disalurkan dari Natuna Barat dan tekanan pendaratan gas yang rendah yang dibekalkan dari Sumatera Selatan," terang EMA.

Sebahagian besar pengguna Pasaran Elektrik Terbuka (OEM) "dilindungi" daripada ketidaktentuan harga dalam pasaran elektrik borong disebabkan oleh pelan harga tetap, diskaun ke atas tarif yang terkawal atau tarif terkawal.

OEM dilancarkan di seluruh negara pada November 2018 untuk menawarkan pengguna dengan lebih banyak pilihan dan kelonggaran ketika membeli elektrik.

Hampir separuh pengguna di rumah menukar kepada membeli elektrik daripada peruncit OEM, menurut EMA.

Lagi separuh pengguna di rumah membeli elektrik daripada SP Group pada tarif yang terkawal, tambah.

Hanya segelintir pengguna membeli elektrik secara langsung daripada Pasaran Elektrik Borong Singapura, menurut EMA.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan