Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Eksport telefon bijak Huawei diramal jatuh 25% tahun ini

Penghantaran telefon bijak keluaran syarikat China, Huawei yang terjejas teruk akibat sekatan Amerika Syarikat, mungkin akan merosot sehingga 25 peratus tahun ini dan telefon bijaknya mungkin lenyap daripada pasaran antarabangsa, menurut para penganalisis.

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport telefon bijak Huawei diramal jatuh 25% tahun ini

Gambar fail logo Huawei di sebuah pusat beli-belah di Shanghai, China. (Gambar fail: Reuters/Aly Song)

Diterbitkan : 25 May 2019 01:34PM Dikemas Kini : 25 May 2019 01:36PM

HONG KONG: Penghantaran telefon bijak keluaran syarikat China, Huawei yang terjejas teruk akibat sekatan Amerika Syarikat, mungkin akan merosot sehingga 25 peratus tahun ini dan telefon bijaknya mungkin lenyap daripada pasaran antarabangsa, menurut para penganalisis.

Penghantaran telefon bijak Huawei yang merupakan pengeluar telefon bijak kedua terbesar dari segi bilangannya, dijangka merosot antara empat hingga 24 peratus pada tahun ini jika sekatan dikekalkan, menurut Fubon Research and Strategy Analytics.

Sesetengah pakar menjangkakan penghantaran Huawei akan merosot dalam tempoh enam bulan akan datang namun enggan memberikan unjuran lebih kukuh disebabkan oleh ketidaktentuan berhubung sekatan yang dikenakan.

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat menyekat Huawei daripada membeli barangan Amerika Syarikat minggu lalu di tengah-tengah ketegangan perdagangan antara Washington dengan Beijing.

Syarikat teknologi termasuk Google dan pereka chip ARM milik SoftBank Group, sudah mengumumkan akan menghentikan bekalan dan kemas kini kepada Huawei.

"Huawei mungkin lenyap daripsda pasaran telefon bijak Eropah Barat tahun depan jika ia kehilangan akses kepada Google," kata Linda Sui, pengarah strategi telefon bijak tanpa wayar di Strategy Analytics.

Beliau menjangkakan penghantaran telefon Huawei akan menjunam lagi 23 peratus tahun depan, namun percaya syarikat itu akan dapat terus beroperasi disebabkan oleh pasaran China yang sangat besar.

Menurut pengamat industri IDC, Huawei menguasai hampir 30 peratus pasaran Eropah dan menghantar 208 juta telefon tahun lalu. Separuh daripada jumlah itu adalah bagi pasaran antarabangsa.
Syarikat China itu bergantung kepada Eropah sebagai salah satu pasaran utama bagi telefon premiumnya.

Bakal pembeli telefon Huawei dijangka akan berpindah ke peranti jenama lain seperti Samsung Electronics dan Apple Inc, atau membeli telefon harga sederhana dari pesaing tempatan seperti OPPO dan Vivo, menurut para penganalisis. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan