Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Eksport S'pura susut 3.3% pada Jan; ramalan pertumbuhan diturunkan ekoran virus COVID-19

Singapura pada Isnin (17 Feb) mengumumkan bahawa eksport domestik bukan minyak (NODX) merosot pada Januari, sedang ramalan pertumbuhan ekonomi negara ini diturunkan bagi tahun ini ekoran penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport S'pura susut 3.3% pada Jan; ramalan pertumbuhan diturunkan ekoran virus COVID-19

Kren-kren kontena di pelabuhan Singapura. (Gambar fail: Feline Lim/Reuters)

Diterbitkan : 17 Feb 2020 12:15PM Dikemas Kini : 17 Feb 2020 12:20PM

SINGAPURA: Singapura pada Isnin (17 Feb) mengumumkan bahawa eksport domestik bukan minyak (NODX) merosot pada Januari, sedang ramalan pertumbuhan ekonomi negara ini diturunkan bagi tahun ini ekoran penularan COVID-19.

Eksport susut 3.3 peratus pada Januari selepas tumbuh 2.4 peratus pada Disember menyusuli penguncupan sembilan bulan, menurut perangkaan rasmi.

Agensi perdagangan Enterprise Singapore menurunkan unjuran pertumbuhan sepanjang tahun ini kepada antara -0.5 peratus hingga 1.5 peratus, turun daripada ramalan sebelum ini iaitu antara sifar hingga 2 peratus.

Ramalan awal itu "berdasarkan kebangkitan sederhana pada pertumbuhan ekonomi global, bersama dengan kebangkitan pada kitaran elektronik global", menurut Enterprise Singapore.

Bagaimanapun, penularan COVID-19 menjejas rakan-rakan dagang utama Singapura, khususnya China, yang merupakan destinasi eksport utama Singapura, tambah agensi itu.

Harga minyak yang lebih rendah juga dijangka akan menjejas perdagangan minyak Singapura dan seluruh perdagangan secara amnya.

"Pentadbiran Maklumat Tenaga meramalkan permintaan global yang melemah pada suku pertama tahun 2020, sebahagiannya disebabkan oleh kesan COVID-19, berbanding dengan kemas kini yang lalu," tambah Enterprise Singapore.

KEMEROSOTAN EKSPORT JANUARI AKIBAT PENGHANTARAN ELEKTRONIK

Punca utama kemerosotan eksport pada Januari adalah eksport elektronik yang jatuh sebanyak 13 peratus, walaupun kadar pada rentak lebih perlahan berbanding penguncupan 21.3 peratus pada Disember, menurut agensi perdagangan itu.

Penghantaran litar bersepadu, komputer peribadi dan peralatan telekomunikasi masing-masing menjunam 20.5 peratus, 32.2 peratus dan 25.1 peratus, menyumbang besar kepada penurunan dalam eksport elektronik.

Eksport bukan elektronik turut susut 0.1 peratus selepas mencatat pertumbuhan 11.5 peratus pada bulan sebelumnya. Petrokimia (-23.2 peratus), farmaseutikal (-5.5 peratus) dan mesin elektrik (-28.3 peratus) menyumbang besar kepada kemerosotan pada penghantaran bukan elektronik.

Eksport ke majoriti pasaran utama Singapura turut merosot, kecuali Amerika Syarikat, China, Korea Selatan dan Taiwan, tambah Enterprise Singapore.

Penghantaran ke Hong Kong jatuh sebanyak 40.9 peratus, iaitu kemerosotan paling besar, yang disusuli oleh Indonesia dengan penguncupan 22.6 peratus dan EU dengan penurunan 10.5 peratus.

Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, jumlah perdagangan merosot 3.1 peratus pada bulan Januari, selepas meraih pertumbuhan 0.7 peratus pada Disember.

KESELURUHAN PERDAGANGAN SUSUT 3.2% PADA 2019

Pada tahun 2019, perdagangan Singapura secara keseluruhannya jatuh 3.2 peratus kepada S$1 trilion berbanding dengan S$1.1 trilion pada tahun sebelumnya dan S$967 bilion pada 2017.

Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan 13.9 peratus pada perdagangan minyak di tengah-tengah harga minyak yang lebih rendah berbanding setahun lalu, jelas Enterprise Singapore.

NODX merosot sebanyak 9.2 peratus tahun lalu selepas mencatat pertumbuhan 4.2 peratus pada 2018. Ini disebabkan oleh penghantaran yang lebih rendah bagi produk elektronik dan bukan elektronik, tambah agensi tersebut.

Penghantaran elektronik menguncup sebanyak 22.5 peratus pada 2019, menyusuli penurunan 5.5 peratus pada tahun sebelumnya. Eksport bukan elektronik juga jatuh 4.5 peratus pada 2019, selepas tumbuh 8.2 peratus pada 2018.

Eksport bukan minyak, termasuk eksport domestik dan eksport semula jatuh 1.9 peratus pada 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, menyusuli pertumbuhan 6.5 peratus pada 2019.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan