Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Eksport S'pura naik 2.7% pada Ogos, rentak pertumbuhan lebih perlahan

Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) berkembang pada rentak lebih perlahan, iaitu 2.7 peratus pada Ogos dipacu oleh pertumbuhan dalam eksport elektronik, sementara eksport bukan elektronik merosot, menurut data yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (ESG) hari ini (17 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport S'pura naik 2.7% pada Ogos, rentak pertumbuhan lebih perlahan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 17 Sep 2021 12:36PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 12:37PM

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) berkembang pada rentak lebih perlahan, iaitu 2.7 peratus pada Ogos dipacu oleh pertumbuhan dalam eksport elektronik, sementara eksport bukan elektronik merosot, menurut data yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore (ESG) hari ini (17 Sep).

Walaupun ia mencatat pertumbuhan selama sembilan bulan berturut-turut, perangkaan dari tahun ke tahun pada Ogos adalah yang paling rendah sejak November lalu dan meleset daripada unjuran pakar ekonomi dalam satu tinjauan Reuters, yang mana ia meramalkan kenaikan 8.3 peratus. NODX tumbuh 12.7 peratus pada Julai.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, NODX merosot 3.6 peratus pada Ogos, setelah ia mencatatkan kemerosotan 0.9 peratus pada bulan sebelumnya. Pakar ekonomi meramalkan pertumbuhan 2.4 peratus.

Penghantaran elektronik pula meningkat 16.7 peratus pada Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh litar bersepadu, diod dan transistor serta bahagian litar bersepadu.

Penghantaran produk bukan elektronik merosot 1.4 peratus pada Ogos berbanding tahun lalu, sebahagian besar disebabkan oleh kemerosotan dalam emas bukan kewangan, persediaan makanan dan farmaseutikal.

EKSPORT KE PASARAN UTAMA

Eksport ke pasaran utama juga meningkat secara keseluruhan pada Ogos, meskipun eksport ke China dan Kesatuan Eropah merosot. Penyumbang terbesar kepada kenaikan itu adalah Taiwan, Hong Kong dan Malaysia.

Eksport ke Taiwan naik 50.6 peratus disebabkan mesin-mesin khas, litar bersepadu dan peralatan mengukur.

Eksport ke Hong Kong meningkat 22.8 peratus disebabkan oleh litar bersepadu, produk cakera media dan perkakas litar elektrikal.

Eksport ke Malaysia meningkat 17.9 peratus pada Ogos disebabkan litar bersepadu, petrokimia serta diod dan transistor.

Eksport ke pasaran baru berkembang pada rentak lebih perlahan sebanyak 2.6 peratus menyusuli perkembangan 59.8 peratus pada Julai. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh Asia Selatan, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam serta Timur Tengah.

PENUNJUK PERDAGANGAN YANG LAIN

Eksport semula bukan minyak berkembang pada kadar lebih pantas sebanyak 19 peratus pada Ogos berbanding tahun lalu, menyusuli peningkatan 13.9 peratus pada Julai, dengan pertumbuhan dicatat dalam sektor elektronik dan bukan elektronik.

Penyumbang utamanya adalah eksport ke Hong Kong, China dan Taiwan.

Perdagangan secara keseluruhannya meningkat 19.8 peratus pada Ogos dari tahun ke tahun, sekali gus melanjutkan perkembangan 19 peratus yang dicatat pada bulan lalu.

Kedua-dua import dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 17.4 peratus dan 22.8 peratus.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan