Images
  • nodx
    (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Eksport S'pura naik 12.8% pada Januari, pertumbuhan terpantas dalam 7 bulan

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak Singapura (NODX) meningkat 12.8 peratus pada Januari berbanding setahun lalu, didorong oleh penghantaran jentera khas, emas bukan kewangan, petrokimia dan elektronik, menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada Rabu (17 Feb).

Ini menandakan rentak pertumbuhan terpantas sejak Jun lalu dan lebih dua kali ganda jangkaan para pakar ekonomi iaitu kenaikan 5.4 peratus, menurut tinjauan Reuters. NODX naik 6.8 peratus pada Disember.

Berdasarkan penyesuaian musiman bulan ke bulan, NODX meningkat 7 peratus bulan lalu untuk mencecah S$15.4 bilion, menyusuli pertumbuhan 4.8 peratus pada Disember. Para pakar ekonomi telah meramalkan kenaikan 2 peratus. Kedua-dua eksport domestik elektronik dan bukan elektronik meningkat.

Import bukan minyak bagi barangan perantara (NORI) meningkat sedikit, dari S$5.4 bilion pada Disember ke S$5.5 bilion pada Januari.

PERDAGANGAN KESELURUHAN

Dari tahun ke tahun, perdagangan keseluruhan merosot 1.9 peratus bulan lalu, menyusuli penguncupan 0.3 peratus pada Disember.

Jumlah eksport keseluruhan tumbuh 1.1 peratus pada Januari, menyusuli kenaikan 2.6 peratus pada bulan sebelumnya. Jumlah import keseluruhan susut 5.2 peratus pada Januari, menyusuli kemerosotan 3.4 peratus pada Disember.

Berdasarkan penyesuaian musiman, berbanding bulan sebelumnya, jumlah perdagangan keseluruhan meningkat 5.7 peratus pada Januari, menyusuli kenaikan 1.6 peratus pada Disember.

Tahap jumlah perdagangan keseluruhan, berdasarkan penyesuaian musiman, mencecah S$86.6 bilion pada Januari, lebih tinggi berbanding S$81.9 bilion yang dicatat pada bulan sebelumnya.

Jumlah eksport keseluruhan meningkat 5.2 peratus pada Januari, selepas pertumbuhan 2.2 peratus pada Disember. Jumlah import keseluruhan pula meningkat 6.3 peratus pada Januari, setelah tumbuh 1.0 peratus pada Disember.

PERDAGANGAN BUKAN MINYAK

NODX meningkat sepanjang tahun, kata Enterprise Singapore, dipacu oleh sektor bukan elektronik.

Berdasarkan perbandingan dari tahun ke tahun, NODX bukan elektronik tumbuh 12.5 peratus pada Januari, menyusuli kenaikan 5 peratus pada bulan sebelumnya.

Jentera khas (+53.2 peratus), emas bukan kewangan (+70.9 peratus) dan petrokimia (+10.1 peratus) merupakan penyumbang utama pertumbuhan NODX bukan elektronik.

NODX elektronik juga turut berkembang.

Dari tahun ke tahun, NODX elektronik meningkat 13.5 peratus pada Januari, menyusuli pertumbuhan 13.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Litar bersepadu, peralatan telekomunikasi, serta diod dan transistor masing-masing tumbuh 13.9 peratus, 65.1 peratus dan 27.4 peratus, sekali gus memacu peningkatan NODX elektronik.

NODX KE PASARAN UTAMA DAN BARU MUNCUL MENINGKAT

NODX ke pasaran utama secara keseluruhannya meningkat, meskipun eksport ke EU 27, Amerika Syarikat dan Jepun merosot.

Penyumbang terbesar kenaikan NODX pada Januari adalah Korea Selatan (+49.7 peratus), Thailand (+51.5 peratus) dan Hong Kong (+42.7 peratus).

NODX ke pasaran-pasaran baru muncul tumbuh 43.4 peratus pada Januari, menyusuli kenaikan 28.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan NODX ke pasaran baru muncul didorong oleh CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) (+235.3 peratus), Asia Selatan (+12.7 peratus) dan Amerika Latin (+23.6 peratus).

PERDAGANGAN MINYAK

Dari tahun ke tahun, eksport domestik minyak menguncup 37.8 peratus pada Januari di tengah-tengah harga minyak yang lebih rendah, berikutan kemerosotan 19.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Eksport lebih rendah ke Malaysia (-52.7 peratus), Indonesia (-46.2 peratus) dan Panama (-52.4 peratus) menyumbang kepada penguncupan eksport domestik minyak dari tahun ke tahun.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, eksport domestik minyak tumbuh 6.2 peratus pada Januari, menyusuli kenaikan 8.5 peratus pada Disember.

EKSPORT SEMULA BUKAN MINYAK TUMBUH

Dari tahun ke tahun, eksport semula bukan minyak (NORX) meningkat 8.8 peratus pada Januari, berikutan kenaikan 5.4 peratus pada Disember. Pertumbuhan eksport semula elektronik mengatasi penguncupan bukan elektronik yang membawa kepada pertumbuhan NORX secara keseluruhan.

Dari tahun ke tahun, NORX elektronik berkembang sebanyak 27.7 peratus pada Januari, setelah tumbuh 23.8 peratus pada bulan Disember.

Kenaikan NORX elektronik disebabkan oleh litar bersepadu (+24.6 peratus), peralatan telekomunikasi (+37.7 peratus) dan bahagian komputer peribadi (+81.6 peratus).

Dari tahun ke tahun, NORX bukan elektronik merosot 7.8 peratus pada Januari, menyusuli penguncupan 10.1 peratus pada Disember.

Kemerosotan NORX bukan elektronik disebabkan oleh mesin dan motor bukan elektrik (-48.8 peratus), enjin piston (-38.7 peratus) dan alat perubatan (-22.8 peratus).

NORX ke kebanyakan 10 pasaran utama tumbuh pada Januari, kecuali ke Korea Selatan, Jepun, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Tiga penyumbang utama kenaikan NORX adalah Hong Kong (+27.5 peratus), EU 27 (+37.1 peratus) dan Vietnam (+46.6 peratus).

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, NORX meningkat 4.9 peratus pada Januari, setelah susut 1.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Kedua-dua NORX elektronik dan bukan elektronik tumbuh. Berdasarkan penyesuaian musiman, tahap NORX mencatat S$25.3 bilion pada Januari, lebih tinggi berbanding S$24.1 bilion pada Disember.

- CNA/TQ/tq

Top