Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Eksport S'pura jatuh 6.4% pada suku pertama

Eksport bukan minyak domestik(NODX) Singapura jatuh 6.4 peratus pada suku pertama tahun ini dek kemerosotan dalam eksport elektronik dan bukan elektronik.

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport S'pura jatuh 6.4% pada suku pertama

Sebuah pelabuhan Singapura. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Diterbitkan : 21 May 2019 06:01PM Dikemas Kini : 21 May 2019 06:03PM

SINGAPURA: Eksport bukan minyak domestik(NODX) Singapura jatuh 6.4 peratus pada suku pertama tahun ini dek kemerosotan dalam eksport elektronik dan bukan elektronik.

Menurut angka terkini yang dikeluarkan agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Selasa (21 Mei), kejatuhan itu susuli penurunan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Eksport produk elektronik menjunam 17.2 peratus berbanding setahun lalu setelah jatuh 3.6 peratus pada suku sebelumnya. Eksport barangan cakera media, komputer peribadi (PC) dan litar terkamil (IC) merupakan penyumbang terbesar dalam kemerosotan itu.

Eksport bagi produk bukan elektronik pula susut 2.6 peratus pada suku pertama setelah jatuh 0.2 peratus pada suku sebelumnya. Sebahagian besarnya disebabkan kemerosotan dalam eksport mesin khas (-31.7 peratus), petrokimia (-11.3 peratus) dan kimia asas (-19.1 peratus).

Berdasarkan perbandingan suku tahunan, NODX merosot 4.8 peratus pada suku pertama setelah jatuh 3.5 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut Enterprise Singapore, NODX ke pasaran-pasaran utama - kecuali Amerika Syarikat dan Thailand - jatuh pada suku pertama tahun ini akibat kemerosotan dalam eksport ke Jepun, Korea Selatan serta Kesatuan Eropah.

Ia menambah bahawa pertumbuhan ekonomi sejagat dan perdagangan dijangka terus sederhana pada 2019 setelah berkembang pada dua tahun lalu.

Agensi perdagangan itu memetik ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai penguncupan dalam pertumbuhan ekonomi sejagat bagi 2019 kepada 3.3 peratus bebanding anggaran 3.5 peratus sebelum ini, di tengah-tengah pengeluaran industri lebih lemah daripada yang dijangkakan serta perdagangan lebih lembab.

Sementara itu, peningkatan dalam harga minyak mungkin menyokong perdagangan minyak Singapura meskipun harga 2019 dijangka lebih rendah berbanding tahun lalu.

Unjuran bagi pertumbuhan dagangan 2019 kekal pada sifar hingga dua peratus manakala ramalan NODX pula diturunkan kepada dua peratus bawah sifar hingga sifar peratus.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan