Images
  • j
    (Gambar: Reuters/Feline Lim)

Eksport S'pura jatuh 14.6% pada suku kedua

SINGAPURA: Eksport bukan minyak (NODX) Singapura jatuh 14.6 peratus pada suku kedua tahun ini, sedang kedua-dua penghantaran barangan elektronik dan bukan elektronik merosot.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Selasa (13 Ogos), kemerosotan itu menyusuli penguncupan 6.4 peratus yang dialami suku sebelumnya.

Eksport domestik bagi produk elektronik merosot 26.9 peratus berbanding setahun lalu selepas menguncup 17.2 peratus pada suku sebelumnya. Eksport bagi litar bersepadu (IC), produk-produk media cakera dan komputer peribadi (PC) menyumbang paling ketara kepada kemerosotan NODX elektronik.

Bagi produk bukan elekronik, eksport domestik jatuh sebanyak 10.5 peratus pada suku kedua menyusuli penguncupan 2.6 peratus pada suku sebelumnya. Komponen-komponen kejuruteraan awam (-80.9 peratus), emas bukan wang (-32 peratus) dan petrokimia (-15 peratus) adalah penyumbang paling ketara kepada kemerosotan NODX bukan elektronik.

Penyumbang terbesar kepada kemerosotan NODX adalah pasaran China, Kesatuan Eropah dan Jepun.

Menurut MTI, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global dijangka lebih perlahan pada tahun ini berbanding pertumbuhan kukuh yang dicatatkan dua tahun lalu.

- CNA/NA/na

Top