Images
  • trade
    (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Eksport S'pura jatuh 11.2% pada Julai

SINGAPURA: Eksport bukan minyak (NODX) Singapura jatuh 11.2 peratus pada Julai, menurut data yang dikeluarkan oleh agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Jumaat (16 Ogos).

Dalam perbandingan tahun ke tahun, ini merupakan kemerosotan buat lima bulan berturut-turut, setelah menjunam 17.4 peratus pada bulan lalu.

Berdasarkan penyesuaian musiman, eksport meningkat 3.7 peratus dari bulan ke bulan pada Julai, menyusuli kemerosotan sebanyak 7.8 peratus pada Jun.

Eksport elektronik dari tahun ke tahun jatuh 24.2 peratus pada Julai, menyusuli penguncupan 31.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Eksport bagi litar bersepadu (IC), komputer peribadi dan produk-produk media cakera masing-masing menguncup 24.2 peratus, 35.5 peratus dan 25.3 peratus, sekali gus menjadi penyumbang terbesar penurunan NODX elektronik.

Eksport bukan elektronik dari tahun ke tahun susut 6.6 peratus pada Julai, menyusuli kemerosotan 12.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Kemerosotan dalam eksport farmaseutikal (-32.7 peratus), mesin khas (-31.3 peratus) dan kimia asas (-30.9 peratus) merupakan penyumbang terbesar kemerosotan NODX bukan elektronik.

Keseluruhan perdagangan dari tahun ke tahun merosot 6 peratus pada Julai, menyusuli penurunan 7.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Secara keseluruhannya, eksport ke kebanyakan pasaran utama jatuh pada Julai, kecuali Amerika Syarikat.

Penyumbang terbesar kemerosotan itu adalah Jepun (-44.2 peratus), Malaysia (-23.3 peratus) dan Hong Kong (-21.7 peratus).  

- CNA/NA/na

Top