Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Eksport S'pura bangkit 6.8% pada Dis 2020

Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura bangkit semula 6.8 peratus pada Disember tahun lalu berbanding setahun sebelum itu, dipacu oleh penghantaran produk bukan elektronik seperti mesin khas dan emas bukan wang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jan 2021 10:58AM Dikemas Kini : 19 Jan 2021 01:50AM

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura bangkit semula 6.8 peratus pada Disember tahun lalu berbanding setahun sebelum itu, dipacu oleh penghantaran produk bukan elektronik seperti mesin khas dan emas bukan wang. Elektronik juga berkembang dari asas perbandingan yang rendah setahun yang lalu.

Pertumbuhan itu dicatatkan setelah mengalami kemerosotan 5 peratus pada November 2020, menurut data rasmi dari Enterprise Singapore pada Isnin (17 Jan).

Para pakar ekonomi menjangkakan peningkatan 0.3 peratus, mengikut median tujuh anggaran, lapor Reuters.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, eksport Singapura tumbuh sebanyak 6.6 peratus pada Disember, sekali gus melanjutkan pertumbuhan 3.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

EKSPORT BUKAN ELEKTRONIK NAIK

Kebangkitan pada bulan Disember dipacu oleh peningkatan 5 peratus bagi penghantaran barangan bukan elektronik berbanding setahun sebelum itu. Ini berbanding penguncupan 5.4 peratus bagi segmen tersebut pada November.

Mesin khas, yang meningkat 30.9 peratus, adalah penyumbang utama kepada peningkatan itu, yang disusuli oleh emas bukan wang (14.5 peratus) alat pengukur (21.4 peratus).

Bagi segmen elektronik, penghantaran produk elektronik meningkat 13.7 peratus berbanding setahun lalu disebabkan oleh asas yang rendah pada Disember 2019. Ini menyusuli kemerosotan 4 peratus pada November.

Litar bersepadu (IC), bahagian komputer peribadi serta diod dan transistor menyumbang sebahagian besar kepada penghantaran bulan Disember, masing-masing melonjak 15.7 peratus, 33.8 peratus dan 16.5 peratus.

Eksport ke pasaran utama Singapura kebanyakannya mencatatkan peningkatan pada bulan Disember, meskipun eksport ke China, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia dan Jepun merosot. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan