Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Eksklusif: Lion Air timbang batal tempahan jet Boeing susuli nahas, menurut sumber

Syarikat penerbangan Indonesia, Lion Air, sedang menimbangkan semula pembelian pesawat dari syarikat Boeing Co.

Anggaran Waktu Membaca:
Eksklusif: Lion Air timbang batal tempahan jet Boeing susuli nahas, menurut sumber

Pesawat Lion Air JT610 terhempas ke dalam Laut Jawa pada 29 Oktober 2018. (Gambar fail: Willy Kurniawan/Reuters)

Diterbitkan : 04 Dec 2018 08:04AM Dikemas Kini : 04 Dec 2018 02:50PM

PARIS/JAKARTA: Syarikat penerbangan Indonesia, Lion Air, sedang menimbangkan semula pembelian pesawat dari syarikat Boeing Co. Buat masa ini, Lion Air belum lagi menolak kemungkinan ia akan membatalkan tempahan, sedang hubungan antara kedua-dua syarikat semakin tegang berhubung pihak manakah yang bertanggungjawab atas nahas pesawat 737 yang meragut nyawa 189 orang pada bulan Oktober.

Pengasas bersama Lion Air, Rusdi Kirana, amat marah akan apa yang disifatkannya sebagai percubaan Boeing untuk mengalihkan perhatian dari perubahan reka bentuk yang dibuat baru-baru ini dan sebaliknya menyalahkan Lion Air atas nahas tersebut. Sementara itu, syarikat penerbangan berkenaan menerima tekanan atas rekod penyenggaraannya dan tindakan para juruterbang.

Encik Kirana sedang mengkaji kemungkinan membatalkan baki tempahan "bagi kumpulan pesawat Boeing seterusnya yang sudah dibuat sebelum ini", menurut seorang individu yang mengenali beliau. Satu lagi sumber juga menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu sedang menimbangkan untuk membatalkan tempahan.

Keputusan muktamad belum lagi dibuat. Namun, perbincangan mengenai kemungkinan membatalkan tempahan bagi baki pesawat bernilai AS$22 bilion (S$30 bilion) menarik perhatian terhadap siasatan yang melibatkan jenis pesawat 737 MAX, yang mula digunakan untuk penerbangan pada tahun lalu.

Lion Air sedang menantikan penghantaran 190 pesawat Boeing bernilai AS$22 bilion (S$30 bilion), selain 197 pesawat yang sudahpun diterimanya. Ini membuat syarikat penerbangan itu salah satu pelanggan eksport terbesar Amerika Syarikat.

Sebarang permintaan untuk membatalkan tempahan akan memberi tekanan kepada Boeing dan mungkin mencetuskan rundingan meluas. Sejumlah besar syarikat penerbangan juga menangguhkan tempahan, tetapi sumber-sumber industri menyatakan bahawa para pembekal aeroangkasa jarang membenarkan begitu banyak skop bagi pembatalan yang dilakukan oleh satu pihak sahaja.

Lion Air bagaimanapun enggan memberi komen mengenai perkara ini. Seorang jurucakap Boeing pula berkata: "Kami mengambil semua langkah bagi memahami sepenuhnya segala aspek kemalangan itu, dan kami bekerja rapat dengan pasukan siasatan serta semua pihak pengawal selia yang terlibat dalam siasatan ini. Kami juga sedang menyokong para pelanggan kami dalam menghadapi masa-masa sukar ini."

PENYENGGARAAN, SOFWE

Encik Kirana, yang merupakan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, mengarahkan agar satu semakan dilakukan sebagai respons kepada kenyataan Boeing yang menumpukan perhatian terhadap cara pesawat dipandu dan penyenggaraan, menurut sumber.

Boeing mengeluarkan kenyataan itu selepas para penyiasat pada minggu lalu mengeluarkan laporan awal nahas, yang menumpukan perhatian kepada kerja-kerja penyenggaraan semasa empat penerbangan sebelum nahas yang berlaku pada 29 Oktober.

Boeing juga sedang meneliti perubahan sofwe menyusuli nahas tersebut, sambil menegaskan bahawa terdapat prosedur sedia ada yang sudah lama ditetapkan bagi para juruterbang membatalkan pergerakan automatik yang menyebabkan bahagian muncung pesawat turun ke bawah, seperti yang dialami oleh pesawat 737 MAX sebagai respons kepada bacaan sensor yang salah.

Syarikat itu juga menerima kritikan para juruterbang Amerika Syarikat kerana gagal menjelaskan mengenai sistem MCAS - iaitu satu pengubahsuaian terhadap sistem anti-terhenti sedia ada - di dalam manual bagi pesawat 737 MAX.

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan