Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi suram punca sebahagian perniagaan katering Melayu/Islam merosot antara 5% hingga 50%

Sebahagian perniagaan syarikat-syarikat katering Melayu/Islam menyatakan perniagaan mereka merosot antara 5 peratus hingga 50 peratus pada hujung tahun ini, berbanding tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebahagian perniagaan syarikat-syarikat katering Melayu/Islam menyatakan perniagaan mereka merosot antara 5 peratus hingga 50 peratus pada hujung tahun ini, berbanding tahun lalu.
Ia mungkin disebabkan oleh keadaan ekonomi yang suram kebelakangan ini.

Tambahan pula, kadar pengangguran yang meningkat kepada 2.3 peratus pada suku ketiga tahun ini serta bonus hujung tahun sektor perkhidmatan awam yang terendah dalam tempoh beberapa tahun menjadi antara penyebab masyarakat umum lebih berhati-hati dan berhemat apabila berbelanja.

MUSLIM DELIGHTS RASA KESAN PERBELANJAAN PELANGGAN YANG BERKURANGAN

Pada bulan Disember, yang biasanya padat dengan acara-acara perayaan, ramai pelanggan dan syarikat korporat menempah makanan.
Namun, jumlahnya kelihatan berkurangan pada tahun ini.

Antara syarikat yang terjejas ialah Muslim Delights.

“Memang kita ada nampak kekurangan dari segi perbelanjaan para pelanggan, tetapi kekurangan ini adalah dalam 5 peratus sahaja. Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, kata orang keupayaan berbelanja mereka lebih daripada sekarang,” kata Encik Zubair Hassan, pengasas Muslim Delights.

Selain itu, tempahan bagi set bento juga meningkat 30 peratus berbanding bulan Disember tahun lalu di mana para pelanggan boleh menjimatkan sekitar $10 bagi setiap 'kepala'.

Menurut Cik Hafidah Daud, pengasas Muslim Delights: “Yang saya perhatikan, kalau bukan untuk katering luar, kita juga ada katering dalam. Kalau dulu, permintaan untuk katering banyak ke hotel, sekarang banyak yang menggunakan tempat kami.”

Jika berbuat demikian, para pelanggan seperti ini mampu menjimatkan 50 peratus daripada kos perbelanjaan mereka.

“Trend sekarang untuk musim perayaan terutama sekali sekarang, saya nampak permintaan untuk menu premium kita kurang. Menu 'basic' tetap ada, pelanggan masih nak katering tetapi menu premium, orang dah tak nak belanja lagi,“ tambah beliau.

KHIDMAT KATERING RUMAH MINANG KURANG STABIL

Tidak seperti Muslim Delights, syarikat-syarikat seperti Rumah Minang yang turut menawarkan khidmat katering, malah menyaksikan kemerosotan lebih ketara pada tempahan antara 30 peratus hingga 40 peratus.

Misalnya, jika Disember tahun lalu tempahan bagi khidmat kateringnya menerima 60 tempahan, mereka hanya mendapat sekitar 40 tempahan saja pada tahun ini.

Tempahan juga lebih kepada jenis bufet mini, berbanding dengan bufet saiz besar.

Menurutnya, bagi mengurangkan kos perbelanjaan, para pelanggan kini memesan makanan mereka dihantar dalam bentuk dulang aluminium, dan bukan lagi dulang bufet.

Dengan itu, para pelanggan dapat menjimatkan sekitar 30 peratus daripada keseluruhan kos pakej katering.

SYARIKAT KECIL PALING TERJEJAS DENGAN TEMPAHAN YANG BERKURANGAN

Hany's The Brunch Store, yang ditubuhkan pada 2014, menyaksikan tempahan kateringnya menjunam sekitar 50 peratus bulan ini, berbanding Disember tahun lalu.

Malah, ia tidak mendapat sebarang pesanan bagi perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baru.

Hany's The Brunch Store.

“Saya sudah menjangkakan ia akan berlaku kerana sejak bulan Jun atau Julaii, penjualan sudah berkurangan dengan peratusan yang tinggi, sekitar 30 peratus hingga 40 peratus. Jadi saya memang menjangkakan orang Singapura akan kurang berbelanja,” kata Encik Nasruledy Hakim Abdul Rahman, pengasas syarikat itu.

Beliau mengambil langkah berani untuk menawarkan diskaun tambahan sehingga 20 peratus untuk memikat lebih ramai pelanggan.

Ketiga-tiga syarikat katering itu akur bahawa mereka perlu membuat lebih banyak persiapan dan penyesuaian kerana ekonomi negara diramal hambar dalam masa beberapa bulan mendatang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan