Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi S'pura tumbuh 7.1% pada suku ketiga; GDP diramal naik sekitar 7%

Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 7.1 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menjangkaui unjuran namun lebih perlahan berbanding pertumbuhan pada suku sebelumnya iaitu sebanyak 15.2 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Nov 2021 10:05AM Dikemas Kini : 24 Nov 2021 09:53PM

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 7.1 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menjangkaui unjuran namun lebih perlahan berbanding pertumbuhan pada suku sebelumnya iaitu sebanyak 15.2 peratus.

Para penganalisis menjangkakan peningkatan 6.5 peratus bagi suku ketiga, menurut tinjauan Reuters.

Berdasarkan data yang dikeluarkan pada Rabu (24 Nov), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan pertumbuhan GDP bagi 2021 kepada sekitar 7 peratus, berbanding antara 6 hingga 7 peratus sebelum ini.

Ini berdasarkan prestasi ekonomi Singapura pada tiga suku pertama tahun ini serta perkembangan terkini ekonomi dalam dan luar negara, menurut MTI.

Pertumbuhan GDP bagi tiga suku pertama 2021 adalah 7.7 peratus.

Pertumbuhan GDP sebanyak 15.2 peratus pada suku kedua "sebahagian besarnya disebabkan oleh dasar perbandingan yang rendah" pada suku yang sama pada 2020 ketika GDP merosot sebanyak 13.3 peratus disebabkan oleh penguatkuasaan langkah-langkah tempoh pemutus rantaian jangkitan dari 7 April hingga 1 Jun, serta kemerosotan mendadak pada permintaan luar negara semasa pandemik COVID-19.

"Faktor-faktor itu turut menjelaskan pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2021 berbanding tempoh yang sama setahun lalu bagi sektor-sektor seperti binaan, perdagangan runcit dan khidmat makanan & minuman (F&B)," menurut MTI.

Kesemua kelompok dalam sektor pengilangan kecuali kelompok pengeluaran bioperubatan, berkembang pada suku ketiga.

Sektor pengilangan mencatat pertumbuhan 7.2 peratus tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu, iaitu peningkatan yang sederhana berbanding pertumbuhan 17.9 peratus pada suku sebelumnya.

Kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu secara khususnya, masing-masing masih terus meraih "pertumbuhan sihat" di tengah-tengah permintaan global yang kukuh bagi semikonduktor dan alat semikonduktor.

Sektor binaan melonjak 66.3 peratus tahun ini berbanding tempoh yang sama 12 bulan yang lalu, namun lebih perlahan berbanding pertumbuhan 117.5 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya, sedang pengeluaran sektor binaan awam dan privet meningkat.

"Pertumbuhan kukuh semasa suku itu sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas perbandingan yang rendah disebabkan oleh penyambungan semula secara perlahan-lahan aktiviti binaan selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan pada tahun lalu," menurut MTI.

Sektor perdagangan borong meningkat sebanyak 5.9 peratus tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu, dipacu oleh segmen mesin, peralatan dan bekalan. Ini dipacu oleh penjualan borong yang tinggi bagi komponen elektronik, peralatan telekomunikasi dan komputer.

Sektor perdagangan runcit berkembang sebanyak 0.7 peratus, disokong oleh peningkatan pada jumlah penjualan kenderaan bukan bermotor meskipun penjualan kenderaan bermotor merosot disebabkan oleh pengurangan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).

RAMALAN EKONOMI BAGI 2021

"Sejak Tinjauan Ekonomi Singapura pada Ogos, ekonomi sejagat mencatatkan prestasi yang rata-rata selaras dengan jangkaan," menurut MTI.

Di Singapura, langkah-langkah sekatan perjalanan di dalam dan luar negeri "terus menjejas" pemulihan sektor-sektor yang berkaitan dengan penerbangan dan pelancongan seperti sektor pengangkutan udara, seni, hiburan dan riadah serta sektor F&B dan perdagangan runcit.

Sungguhpun demikian, pertumbuhan bagi sektor-sektor seperti elektronik serta kewangan dan insurans lebih kukuh daripada yang dijangkakan, dipacu oleh permintaan "kukuh" bagi semikonduktor, khidmat insurans dan pengurusan dana.

Pelonggaran langkah-langkah sekatan sempadan bagi membenarkan kemasukan pekerja hijrahan dari Asia Selatan dan Myanmar juga akan meringankan sedikit kekangan tenaga kerja dalam sektor binaan serta marin dan kejuruteraan luar pesisir dan menyokong pemulihannya, menurut MTI.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan