Images
  • singapore skyline
    (Gambar fail: Woo Yiming/Reuters)

Ekonomi S’pura tumbuh 4.3% pada suku pertama

SINGAPURA: Prestasi kukuh yang dicatatkan oleh sektor pengilangan sekali lagi merangsang pertumbuhan ekonomi Singapura dalam suku pertama tahun ini.

Ini menurut ramalan awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (13 Apr).

Ekonomi Singapura tumbuh 4.3 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ini berbanding 3.6 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku setiap tahun, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat 1.4 peratus, lebih rendah berbanding pertumbuhan 2.1 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Sektor pengilangan kekal sebagai sektor yang paling rancak dalam ekonomi negara, mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus berbanding setahun lalu.

Ini jika dibandingkan dengan pertumbuhan 4.8 peratus pada tiga bulan sebelum itu.

Berbanding dari suku ke suku pula, pertumbuhan dalam sektor itu adalah 23.3 peratus, kebangkitan yang amat ketara berbanding penguncupan 14.8 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Ramalan awal ini turut mengambil kira data daripada dua bulan pertama suku tersebut.

MTI akan mengeluarkan perangkaan GDP bagi suku pertama dalam Tinjauan Ekonomi Singapura yang akan diterbitkan pada bulan depan. 

- CNA/SM/sm

Top