Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi S'pura tumbuh 3.2% pada 2018; MTI kekalkan unjuran 1.5%-3.5% bagi tahun ini

Ekonomi Singapura tumbuh 3.2 peratus tahun lalu, rendah sedikit berbanding anggaran awal 3.3 peratus dan lebih perlahan berbanding 3.9 peratus pada 2017. Demikian menurut perangkaan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (15 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi S'pura tumbuh 3.2% pada 2018; MTI kekalkan unjuran 1.5%-3.5% bagi tahun ini

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Feb 2019 10:38AM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 10:44AM

SINGAPURA: Ekonomi Singapura tumbuh 3.2 peratus tahun lalu, rendah sedikit berbanding anggaran awal 3.3 peratus dan lebih perlahan berbanding 3.9 peratus pada 2017. Demikian menurut perangkaan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (15 Feb).

Pertumbuhan dijangka perlahan bagi tahun ini, dengan MTI mengekalkan unjuran antara 1.5 peratus hingga 3.5 peratus. Hasil dalam negeri kasar (GDP) dijangkah rendah sedikit sekitar 2.5 peratus.

Bagi tiga bulan terakhir 2018, ekonomi berkembang sebanyak 1.9 peratus berbanding setahun sebelum itu. Ini berbanding dengan kenaikan 2.4 peratus pada suku ketiga dan anggaran awal Pemerintah iaitu 2.2 peratus.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, GDP tumbuh 1.4 peratus pada suku keempat, tidak berubah berbanding tiga bulan sebelumnya namun lebih perlahan daripada jangkaan awal 1.6 peratus.

Pada 2018, sektor pengilangan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, dengan peningkatan 7.2 peratus. Peningkatan ini dirangsang oleh kelompok elektronik, kejuruteraan pengangkutan dan pengilangan bioperubatan. Bagaimanapun pertumbuhan ini lebih perlahan berbanding 10.4 peratus yang dicatatkan pada 2017.

Sektor perkhidmatan, yang membentuk dua pertiga ekonomi, tumbuh 3 peratus, rendah sedikit berbanding pertumbuhan 3.2 peratus pada 2017. Pertumbuhan dipacu oleh sektor kewangan dan insurans, khidmat perniagaan serta sektor penjualan borong dan runcit.

Sektor binaan menguncup 3.4 peratus tahun lalu - rentak kemerosotan yang lebih perlahan berbanding penguncupan 10.2 peratus pada tahun 2017 - terjejas oleh penguncupan pada bilangan binaan sektor awam, meskipun kerja binaan sektor swasta naik sedikit.

KETIDAKTENTUAN EKONOMI GLOBAL

Dalam penilaiannya bagi ramalan 2019, MTI menyatakan pertumbuhan bagi kebanyakan ekonomi maju dan ekonomi utama serantau dijangka sederhana.

Ketidaktentuan dan risiko ekonomi global mengalami kemerosotan juga meningkat sejak tiga bulan lalu.

Pertama, masih terdapat risiko ketegangan pada perdagangan antara Amerika Syarikat dan rakan niaga utamanya yang boleh menjadi semakin meruncing, yang boleh mencetuskan kejatuhan mendadak pada perniagaan global dan keyakinan pengguna. Jika ini berlaku, pelaburan global dan perbelanjaan pengguna akan menurun, menjejas teruk pertumbuhan ekonomi global.

Kelembapan ekonomi China yang lebih mendadak daripada yang dijangkakan juga akan menjejas pertumbuhan serantau disebabkan permintaan import yang berkurangan dari China.

Di samping itu, terdapat risiko bahawa Britain akan meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian Brexit.

Brexit "tanpa perjanjian" boleh mengakibatkan pergeseran dagang antara Britain dan rakan dagangnya, selain menjejas sentimen pembeli dan peniaga di Britain dan EU. Ini boleh membawa kesan negatif terhadap pertumbuhan global, menurut MTI.

"Ketidakpastian dan risiko yang meningkat pada ekonomi global menyebabkan naik turun dalam pasaran kewangan dunia. Jika risiko negatif menjadi kenyataan, ia akan menjejas sentimen pelabur, mengeruhkan lagi kesan negatif pada pertumbuhan ekonomi dunia," menurut MTI.

"Berlatarbekangkan ini, rentak pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka perlahan pada 2019 berbanding 2018."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan