Images

Ekonomi S'pura tumbuh 14.7% pada suku ke-2; unjuran pertumbuhan GDP setahun dinaikkan ke 6-7%

SINGAPURA: Ekonomi Singapura tumbuh 14.7 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2021, lebih pantas daripada pertumbuhan 1.5 peratus yang dicatat pada tiga bulan pertama tahun ini.

Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (11 Ogos).

Kementerian itu juga meningkatkan ramalan pertumbuhan GDP untuk 2021 kepada enam hingga tujuh peratus, berbanding empat hingga enam peratus yang diunjurkan sebelum ini. Ini berdasarkan prestasi ekonomi Singapura yang "lebih baik daripada yang dijangkakan" pada separuh pertama tahun ini, serta perkembangan terkini ekonomi luaran dan setempat, jelas MTI.

Dengan keadaan COVID-19 di Singapura kian stabil dan program vaksinasi negara berada di landasan yang betul, "ekonomi Singapura dijangka akan terus menyaksikan pemulihan secara bertahap-tahap pada separuh kedua tahun ini, dipacu sebahagian besarnya oleh sektor berorientasi luar," menurut MTI.

Pelonggaran sekatan domestik dan sempadan secara beransur-ansur juga akan memainkan peranan dalam menyokong pemulihan sektor pengguna Singapura dan melegakan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor yang bergantung kepada pekerja hijrahan, tambahnya.

Peningkatan mendadak dalam semua kelompok sektor perkilangan menyokong keseluruhan pengembangan pada tempoh April hingga Jun.

Sektor binaan, yang diterajui peluasan projek awam dan privet, juga merupakan pemacu pertumbuhan. Ia tumbuh 106.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, perubahan besar berbanding kemerosotan 23.2 peratus pada suku sebelumnya.

- CNA/TQ/tq

Top