Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi S'pura mungkin tumbuh lebih 6% tahun ini: MAS

Ekonomi Singapura, yang mencatat kemelesetan terburuknya pada 2020, mungkin mencatat pemulihan lebih baik daripada jangkaan tahun ini kerana permintaan luaran yang lebih kukuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Apr 2021 02:37PM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 09:15PM

SINGAPURA: Ekonomi Singapura, yang mencatat kemelesetan terburuknya pada 2020, mungkin mencatat pemulihan lebih baik daripada jangkaan tahun ini kerana permintaan luaran yang lebih kukuh.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (28 Apr) menyatakan bahawa hasil dalam negeri kasar (GDP) negara "mungkin melebihi 6 peratus" pada 2021 - unjuran tertinggi dalam julat ramalan rasmi - kecuali pemulihan ekonomi sejagat terhambat atau jumlah penularan tempatan COVID-19 melonjak.

Prospek ekonomi jangka pendek semakin cerah disebabkan permintaan luaran yang lebih kukuh, menurut bank pusat itu dalam penilaian makroekonomi setengah tahunannya yang terbaru.

PEMULIHAN TIDAK SAMA RATA

Ekonomi Singapura buat julung-julung kalinya menguncup 5.4 peratus berikutan pandemik koronavirus pada tahun 2020 dan ia dijangka pulih secara beransur-ansur tahun ini.

MAS bagaimanapun memberi peringatan bahawa pertumbuhan itu berkemungkinan "kekal tidak sama rata antara sektor-sektor berbeza".

Pertumbuhan kukuh dijangkakan untuk sektor pengilangan, yang mencatat kelakonan baik sepanjang tahun lalu, sedang peningkatan kukuh dalam kitaran teknologi global terus merangsang pengeluaran elektronik.

Sebaliknya, prospek bagi sektor yang paling teruk terjejas, termasuk pengangkutan udara dan penginapan, "agak semakin lemah" di tengah-tengah lonjakan jumlah jangkitan COVID-19 secara global dan kemunculan jenis-jenis yang lebih mudah berjangkit.

Di sektor lain, kegiatan binaan dijangka terus disokong oleh tunggakan projek dan jangkaan permintaan lebih tinggi tahun ini walaupun kekurangan tenaga kerja dan kenaikan kos bahan menjadi cabaran dalam jangka masa terdekat.

Sentimen pengguna yang semakin baik dijangka terus menyokong sektor runcit serta makanan dan minuman, tetapi beberapa segmen perkhidmatan moden yang menunjukkan prestasi baik semasa wabak ini mungkin menyaksikan pertumbuhan lebih sederhana pada suku-suku tahun akan datang.

PEMULIHAN PASARAN KERJA, INFLASI TINGGI

MAS, dalam penilaiannya setebal 119 mukasurat, juga menyatakan bahawa pasaran buruh tempatan dijangka meneruskan pemulihannya "pada tahap yang stabil" tahun ini seiring ekonomi, dengan "kebanyakan pertambahan pekerjaan dimaanfaatkan oleh penduduk". Oleh itu, pihaknya menjangkakan kadar pengangguran penduduk akan "terus merosot sepanjang tahun".

Namun, dengan keadaan pasaran buruh yang masih agak lemah, pertumbuhan gaji mungkin agak kecil tahun ini.

Sementara itu inflasi teras dan utama dijangka meningkat pada bulan-bulan mendatang berikutan pemulihan harga minyak global yang mendadak dan berbanding asas yang rendah pada suku kedua 2020.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan, dijangkakan antara 0 dengan 1 peratus, sementara inflasi keseluruhan baru-baru ini dinaikkan kepada julat antara 0.5 dengan 1.5 peratus.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan