Images
  • cbd skyline
    (Gambar: Jeremy Long)

Ekonomi S'pura kemungkinan besar tumbuh mantap dalam suku keempat

SINGAPURA: Ekonomi Singapura kemungkinan besar mengekalkan rentak pertumbuhan yang mantap dalam suku keempat, selepas prestasi sektor pengilangan meningkat di luar jangkaan.

Demikian menurut pakar-pakar ekonomi yang ditinjau Reuters.

Bagaimanapun ketegangan dagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dengan China dijangka memperlahankan rentak pertumbuhan tahun depan.

Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) dari Oktober hingga Disember dijangka berkembang 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kadar pertumbuhan itu naik sedikit daripada 2.2 peratus pada suku ketiga.

Para pakar ekonomi meramalkan ekonomi tumbuh 3.2 peratus berdasarkan penyesuaian tahunan dan musiman, naik sedikit berbanding pertumbuhan 3.0 peratus dalam tempoh Julai-September.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan mengumumkan perangkaan pertumbuhan GDP suku keempat dan bagi keseluruhan tahun 2018 pada Rabu depan. 

- Reuters/MM/TQ/tq

Top