Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ekonomi S'pura diramal terus berkembang tahun ini, kata Saktiandi Supaat

Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 0.2 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 0.2 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Ini setelah ekonomi negara menguncup buat tiga suku berturut-turut sebelum ini.

Demikian pandangan pakar ekonomi, Ketua Penyelidikan Pertukaran Asing Maybank Saktiandi Supaat, yang menambah bahawa pasukannya sudahpun menaikkan ramalan ekonomi negara tahun ini kepada 6.2 peratus.

Perangkaan itu selaras dengan situasi negara yang sedang terus pulih daripada pandemik COVID-19, kata Encik Saktiandi.

Dua sektor yang memacu prestasi itu, tambah beliau, adalah sektor pengilangan berikutan permintaan kukuh merata dunia serta sektor perkhidmatan moden.

Malah, Encik Saktiandi yakin pertumbuhan dicatat dapat diteruskan pada suku-suku akan datang tahun ini.

"Saya rasa selagi peluncuran vaksin dan kelonggaran sempadan dapat memberi perangsang ekonomi-ekonomi dunia dan rantauan di ASEAN dan Asia, ia boleh memberi pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan tetapi terpulang saya rasa kepada situasi COVID-19 dan jikalau pembukaan ekonomi dan keberkesanan vaksin di negara-negara dunia dan rantau kita ini," ujar beliau.

Lantaran itu, beliau dan pasukan pakar ekonomi di Maybank meningkatkan unjuran ekonomi negara tahun ini kepada 6.2 peratus berbanding 4.5 peratus yang dijangkakan pada awalnya.

Ini kerana sektor pengilangan dan perkhidmatan moden akan terus menjadi pemacu utama ekonomi negara sementara beberapa sektor lain akan menunjukkan pemulihan tetapi pada rentak perlahan, tambah Encik Saktiandi.

Beliau berkata: "Ada juga sektor-sektor yang mungkin masih melihat pertumbuhan tetapi tidak serancak tahun-tahun sebelum COVID-19 kerana ada sektor-sektor yang masih terjejas dengan kesan parut ekonomi itu masih ada untuk sektor-sektor seperti aeroangkasa, pelancongan dan juga binaan."

Namun begitu Encik Saktiandi memberi amaran bahawa sebilangan penganalisa ekonomi berpendapat dengan kemajuan pantas dicatat tahun ini, ada kemungkinan ekonomi negara tumbuh hanya 2 peratus hingga 4 peratus pada 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan