Images
  • singapore skyline
    (Gambar fail: TODAY)

Ekonomi Internet Asia Tenggara dijangka cecah AS$300 bilion jelang 2025

SINGAPURA: Ekonomi Internet Asia Tenggara kini dijangka menepati sasaran untuk mencecah AS$300 bilion menjelang tahun 2025.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu, iaitu sekitar AS$240 bilion.

Demikian menurut laporan syarikat pelaburan Singapura, Temasek, Google serta syarikat perunding cara, Bain & Company.

Laporan itu dibentangkan selepas sasaran ekonomi Internet ASEAN melepasi paras AS$100 bilion tahun ini, di tengah-tengah perubahan permintaan dan pilihan pengguna yang berkembang pesat.

Salah satu pemacu utama pertumbuhan yang memberangsangkan itu ialah pertumbuhan e-dagang yang pesat, meningkat sebanyak tiga kali ganda antara tahun 2015 dengan 2019.

Sektor khidmat kereta sewa privet berkembang lebih pesat, meningkat lima kali ganda dari AS$8 juta kepada AS$40 juta sejak empat tahun lalu.

Ini termasuk permintaan bagi khidmat penghantaran makanan yang terus berkembang pesat.

Walaupun ia mungkin lebih kecil daripada negara-negara jiran, ekonomi internet Singapura membentuk bahagian terbesar dari pendanaan sebagai hab serantau.

Pendanaan bagi ekonomi internet Singapura menunjukkan trend peningkatan dan pertumbuhan kukuh setakat tahun ini.

Ini kerana para pelabur menghargai kemantapan politik serta sekitaran perniagaan negara ini.

Industri internet Singapura dirangsang oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor kereta sewa privet yang berkembang 37% dari 2015 hingga 2019.

Ia dijangka tumbuh kepada $7 bilion menjelang 2025.

Sektor e-dagang pula berkembang 18% sepanjang empat tahun lalu dan boleh mencecah $7 bilion.

Pasaran terbesar adalah dalam sektor pelancongan online yang dijangka mencecah $11 bilion.

- CNA/MM/ha

Top