Images
  • hong kong protest
    Para penunjuk perasaan membaling semula balang gas pemedih mata semasa satu perarakan bantahan di Hong Kong, China, pada 20 Okt 2019. (Gambar: Kim Kyung-Hoon/Reuters)

Ekonomi Hong Kong terus meleset; bantahan masih belum reda

HONG KONG: Hong Kong terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi setelah bantahan antipemerintah yang berlarutan lebih lima bulan tidak menunjukkan tanda-tanda mereda. Wilayah khas China itu juga tidak mungkin mencapai pertumbuhan ekonomi yang disasarkan untuk tahun ini, menurut Setiausaha Kewangan bandar itu.

"Tamparan yang sangat hebat kepada ekonomi kita," kata Paul Chan dalam satu catatan blog pada Ahad (27 Okt) sambil menambah bahawa anggaran awal bagi GDP suku ketiga Khamis ini akan menunjukkan penguncupan dua kali berturut-turut - takrifan teknikalnya merujuk kepada kemelesetan ekonomi.

Beliau juga berkata ia akan menjadi "amat sukar" untuk mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi yang ditetapkan oleh pemerintah iaitu antara 0 hingga 1 peratus.

Siri bantahan di bekas tanah jajahan British tersebut kini memasuki minggu ke-21. Pada Ahad (27 Okt), para penunjuk perasaan yang berpakaian serba hitam dan bertopeng membakar kedai-kedai dan membaling bom petrol ke arah polis. Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

Sementara itu, bilangan pelancong ke Hong Kong pula merudum - kemerosotan yang Chan sifatkan sebagai "memudaratkan" dengan kejatuhan jumlah pelancong memburuk pada bulan ini iaitu hampir 50 peratus.

Para pengendali kedai runcit, dari pusat beli-belah ternama ke perniagaan kecil-kecilan dipaksa untuk tutup selama beberapa hari sepanjang beberapa bulan lalu.

Meskipun pihak berkuasa mengumumkan langkah-langkah untuk menyokong syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), Chan berkata langkah-langkah tersebut hanya dapat "mengurangkan sedikit saja tekanan tersebut”.

- REUTERS/FZ/fz

Top