Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

EDB jangka pelaburan hingga S$10 bilion 'dikekalkan' pada 2019

Meskipun banyak ketidaktentuan diramalkan pada 2019, komitmen pelaburan di Singapura dijangka "dikekalkan pada paras 2018", menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) pada Khamis (14 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Feb 2019 01:55PM Dikemas Kini : 15 Feb 2019 01:22AM

SINGAPURA: Meskipun banyak ketidaktentuan diramalkan pada 2019, komitmen pelaburan di Singapura dijangka "dikekalkan pada paras 2018", menurut Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) pada Khamis (14 Feb).

Dalam taklimat tahunan menyingkap prestasi tahun lalu, agensi itu turut mengenalpasti lima keutamaan bagi tahun ini, termasuk memanfaatkan peluang-peluang di ASEAN dan ekonomi digital yang semakin berkembang.

Pelaburan aset tetap sekitar S$8 bilion hingga S$10 dijangkakan tahun ini, menurut EDB.

Perbelanjaan keseluruhan perniagaan (TBE) setahun, yang merujuk kepada perbelanjaan operasi tambahan syarikat yang merangkumi gaji dan sewa, diramal antara S$5 bilion hingga S$7 bilion.

Ini dijangka akan menghasilkan 16,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan.

Tahun lalu, Singapura berjaya menarik S$10.9 bilion pelaburan aset tetap, melebihi unjuran EDB sebanyak S$8 bilion hingga S$10 bilion.

TBE setahun adalah S$6.2 bilion, menepati ramalan EDB antara S$5 bilion hingga S$7 bilion.

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, projek-projek berkenaan akan menjana 17,400 pekerjaan baru, selaras dengan jangkaan penghasilan 16,000 hingga 18,000 pekerjaan baru. Ini diramal menyumbang S$13.6 bilion nilai tambah setahun.

Perangkaan bagi 2018 menunjukkan kekuatan Singapura sebagai sebuah bandar perusahaan global dan hab pengilangan, kata pengerusi EDB Beh Swan Gin.

Beliau mengambil perhatian terdapat banyak ketidaktentuan dalam sekitaran operasi global dan tanda-tanda ekonomi semakin lemah di merata dunia.

Ekonomi Singapura juga dijangka kurang rancak sejajar dengan pertumbuhan pengilangan yang semakin perlahan, namun aliran pelaburan negara dijangka "kekal berdaya bingkas" pada 2019, kata Dr Beh.

EDB akan mempunyai lima keutamaan tahun ini, salah satunya kedudukan Singapura sebagai wadah di ASEAN bagi syarikat-syarikat sejagat dan serantau melakukan perniagaan.

Dengan pendigitalan membuka luas sumber pertumbuhan dan inovasi baru, EDB juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor pengilangan canggih dan menjadi hab digital bagi syarikat bukan pengilangan.

Agensi tersebut juga menyatakan ia akan terus menghubungkan syarikat-syarikat dengan institusi-institusi pengajian tinggi setempat untuk menubuhkan makmal korporat, sambil memainkan peranan lebih aktif dalam membantu syarikat dalam proses uji kaji, pengkomersilan serta melebarkan sayap ke luar Singapura.

Akhir sekali, Singapura boleh menerajui sektor kenderaan tanpa pemandu dan mobiliti bijak - satu bidang pertumbuhan baru hasil gangguan teknologi - disokong keupayaan pengilangan canggih dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"EDB akan terus memperkukuh kedudukan Singapura sebagai titik utama dalam ASEAN, membantu syarikat-syarikat menggunakan dan berinovasi dengan teknologi digital dan memanfaatkan keupayaan untuk menembusi bidang pertumbuhan baru yang akan menghasilkan pekerjaan baik untuk warga Singapura," kata Dr Beh.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan