Images
  • dyson store file
    Gambar fail sebuah kedai Dyson di California, Amerika Syarikat (Gambar: Rachel Murray/Getty Images via AFP)

Dyson tamatkan hubungan dengan pembekal di Malaysia atas dakwaan buruh paksa

KUALA LUMPUR: Pengeluar peralatan rumah berteknologi tinggi, Dyson Ltd menamatkan hubungannya dengan pembekal produk itu di Malaysia ATA IMS Bhd, menyusuli keputusan audit ke atas amalan buruh syarikat berkenaan baru-baru ini, lapor Reuters.

ATA yang sedang disiasat Amerika Syarikat sebelum ini atas dakwaan buruh paksa mengesahkan Dyson sudah menamatkan kontrak dengannya dan ia sedang dalam perbincangan dengan pelanggannya itu berhubung dapatan audit berkenaan.

Saham ATA yang yang membuat alat ganti untuk pembersih vakum dan penulen udara Dyson, jatuh 30 peratus ke paras terendah sejak April 2020 selepas laporan Reuters itu.

Menurut ATA,akaun Dyson membentuk hampir 80 peratus pendapatan syarikat tersebut.

Penamatan kontrak itu merupakan satu tamparan besar kepada Malaysia berikutan beberapa dakwaan mengenai nasib pekerja migran yang hidup dalam keadaan teruk dan terdedah kepada penganiayaan.

Pemilik Dyson, jutawan British, James Dyson berkata, beliau menerima keputusan audit berhubung cara kerja di ATA pada awal Oktober lalu.
“Meski sudah berunding sejak enam minggu lalu, kami tidak melihat cukup perubahan dibuat dan sudah berhentikan beberapa proses pengilangan,"kata Dyson, yang berpangkalan di Singapura dalam satu kenyataan kepada Reuters.

"Kami sudah menamatkan hubungan dengan notis kontrak enam bulan.
“Kami berharap ini memberi dorongan kepada ATA untuk menambah baik, dan membolehkan pengeluaran yang teratur demi kepentingan pekerja yang mereka ambil.”

ATA pada Mei menafikan dakwaan buruh paksa di kilangnya selepas seorang aktivis hak asasi terkemuka berkata pihak berkuasa AS akan meneliti amalan kerja di syarikat itu.

Aktivis tersebut, Andy Hall, berkongsi surat dihantar Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS memberitahunya CBP bersetuju untuk menyiasat ATA selepas aduan diterima daripada pekerja.

CBP telah melarang enam firma Malaysia dalam tempoh dua tahun lepas daripada menjual produk mereka ke Amerika Syarikat selepas menemui bukti berlakunya kegiatan buruh paksa.

AS menyekat Supermax Corp Bhd dan Smart Glove Holdings atas dakwaan sama.

Top Glove Corp Bhd turut dihalang atas dakwaan serupa namun larangan itu ditarik balik selepas syarikat itu menyelesaikan isu dibangkitkan.

CBP sebelum ini turut melarang import daripada dua syarikat perladangan Malaysia, FGV Holdings Bhd dan Sime Darby Plantation Bhd.

Pada Julai, Jabatan Negara meletakkan Malaysia dalam senarai lebih 12 negara termasuk China dan Korea Utara kerana tidak membuat kemajuan dalam menghapuskan amalan pemerdagangan pekerja.

- Reuters/SU/tq

Top