Images
  • dyson
    Dyson akan batalkan projek kereta. (Gambar: Dyson)

Dyson batalkan pelan buka kilang kereta elektrik di sini bukan kerana S’pura tidak berkeupayaan

SINGAPURA: Keputusan Dyson untuk membatalkan divisyen kereta dan projeknya untuk menghasilkan kereta elektrik di sini adalah kerana ia kurang mampan dari segi komersil dan bukan disebabkan oleh keupayaan Singapura. Demikian menurut Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat pada Selasa (5 Nov).

Beliau menjelaskan demikian di Parlimen semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Liang Eng Hwa yang bertanya sama ada "kekurangan pada keupayaan atau kelebihan tertentu" di Singapura menyumbang kepada keputusan firma Britain itu untuk membatalkan rancangannya membuka kilang kereta elektrik di sini.

"Adakah ia kerana kurang keupayaan? Tidak," kata Encik Chee.

"Ini adalah sebuah perniagaan yang sedang ditimbangkan mereka dan kemudian mereka memutuskan bahawa ia tidak mampan dari sudut komersil untuk syarikat itu meneruskannya, lalu mereka membatalkan rancangan untuk menceburi bidang ini."

Dyson pada Oktober menyatakan bahawa meskipun pasukannya sudah menghasilkan kereta elektrik "hebat", ia tidak mampan dari sudut komersil.

PEKERJA BERKEMAHIRAN MASIH DIHARGAI SYARIKAT

Encik Chee berkata pada Selasa bahawa Singapura masih dihargai kerana tenaga kerjanya yang berkemahiran, kekuatannya dalam bidang teknologi maju seperti robotik dan automasi, rejim hak milik intelektual yang membolehkan kajian dan pengembangan (R&D) serta kerjasama perikatan tiga pihak yang kukuh.

Tanpa memberikan perincian lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat syarikat-syarikat lain yang melahirkan hasrat untuk membangunkan huraian mobiliti bijak.

"Kita akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat ini untuk mewujudkan peluang-peluang baru untuk Singapura, syarikat-syarikat dan pekerja kita," kata beliau.

INSENTIF TIDAK DIAGIHKAN

Bagi Dyson, keputusan syarikat itu untuk tidak meneruskan perniagaan kenderaan elektrik bermakna "insentif tidak diberikan bagi projek tersebut".

Encik Chee berkata demikian semasa menjawab soalan AP Seah Kian Peng mengenai sama ada Dyson akan memenuhi komitmen pelaburannya yang lain.

"Bagi projek-projek lain yang Dyson sudah mulakan atau sedang merancang untuk mengembangkan aktivitinya di Singapura, ia adalah sesuatu yang akan kita nilai secara berasingan," tambah beliau.

TIDAK JEJAS OPERASI DYSON DI SINGAPURA

Encik Chee turut menjelaskan bahawa penutupan perniagaan kenderaan elektrik tidak menjejas kehadiran dan operasi Dyson di Singapura.

"Meskipun Dyson tidak lagi meneruskan perniagaan kenderaan elektrik, ia akan terus mengembangkan perniagaan asasnya di Singapura, membangunkan teknologi bateri bagi produk-produk pengguna dan mengembangkan R&D bagi bidang-bidang seperti alat sensor dan robotik serta kecerdasan buatan (AI), yang juga akan menyokong pembangunan ekosistem mobiliti bijak," tambah beliau.

20 kakitangan daripada unit kenderaan elektrik yang ditutup itu akan dikerahkan ke bahagian lain syarikat itu, kata Encik Chee.

Dyson menggajikan sekitar 1,200 pekerja di sini. Awal tahun ini, ia menyatakan bahawa ia akan memindahkan ibu pejabat korporatnya ke Singapura bagi mencerminkan "betapa pentingnya pasaran Asia" kepada perniagaannya.

- CNA/TQ/tq

Top