Images
  • durian
    Durian Musang King M'sia dijual secara online, luar talian di China. (Gambar: BERNAMA)

Durian Musang King M'sia dijual secara online, luar talian di China

KUALA LUMPUR: Kumpulan Alibaba pada Selasa (4 Jun) mengumumkan durian Musang King Malaysia akan, buat pertama kalinya, dieksport ke China secara rasmi dalam bentuk buah-buahan beku dan boleh dibeli melalui online atau luar talian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Sim Tze Tzin, berkata negara itu akan terus membantu memudahkan eksport dan mempromosikan produk tempatan yang unik kepada pasaran global.

"Hari ini, kerjasama kukuh antara Malaysia dan China telah menghasilkan inisiatif eksport durian dan kedua-dua kerajaan telah bekerjasama untuk selama beberapa bulan bagi memudahkan eksport durian Musang King beku dalam bentuk buah penuh ke China," katanya.

Alibaba sudahpun menyokong usaha Malaysia dalam pelbagai bidang untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan termasuk dalam menyokong perdagangan global serta membantu mempromosikan produk Malaysia melalui kempen penjanaan permintaan, antara lain.

"Ini satu permulaan kerjasama strategik jangka panjang yang mengambil kira kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan eksport tempatan melalui platform e-dagang dan menyokong pertumbuhan dalam bidang ini," ujar Encik Sim.

Pada 2018, Malaysia menghasilkan lebih 350 juta kilogram durian tetapi eksportnya baru setakat lima peratus sahaja.

"Oleh itu, melalui kerjasama ini, kami amat positif bahawa eksport durian akan berkembang dengan pesat. Ini juga menyebabkan banyak kebun tempatan mula melabur untuk meningkatkan pengeluaran durian, satu tanda bahawa ramai pihak yang sudah mula menyedari peluang pertumbuhan ini," jelas Encik Sim lanjut.

Dengan bantuan sistem pengagihan pelbagai saluran di Alibaba, pengguna China akan dapat membeli buah-buahan melalui Tmall dan Freshippo - salah satu platform urus niaga baharu di Alibaba yang membolehkan pengguna untuk membeli produk-produk sama ada menggunakan aplikasinya yang khusus atau di salah satu daripada 150 cawangan luar talian di seluruh China. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top